Syarikat bas ekspres tidak dibenar naik harga melampau

Syarikat bas ekspres tidak dibenar naik harga melampau

WEE Ka Siong (dua kanan) mengadakan sidang akhbar selepas berbuka puasa bersama pengamal media Johor di Forest City Golf Resort, Iskandar Puteri di sini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan tidak membenarkan mana-mana syarikat pengusaha bas ekspres mengambil kesempatan menaikkan harga tambang secara melampau khususnya menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, sebarang peningkatan sama ada harga atau frekuensi perjalanan perlu dimohon kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebelum diserahkan kepada kementerian untuk pertimbangan sebelum membuat keputusan terbaik dengan mengambil kira kepentingan semua pihak khususnya pengguna.

“Kita faham bila musim perayaan biasanya kita izinkan kenaikan harga, tetapi tidaklah kepada satu angka yang bebankan rakyat. Ini kerana pada setiap musim perayaan memang amalan biasa kenaikan sehingga 10 peratus daripada harga asal.

“Kita sedar apa yang dilalui syarikat pengusaha bas dan alasan di sebalik kenaikan harga itu, tetapi kita juga faham dan bersimpati dan tidak akan membiarkan rakyat terbeban dengan kenaikan harga,” katanya dalam sidang akhbar selepas program berbuka puasa di Forest City Golf Resort, di sini semalam.

Ka Siong berkata, setakat ini pihaknya belum mendapat aduan secara spesifik berhubung kenaikan harga secara melampau dan menyeru masyarakat membuat aduan kepada pihak berwajib sekiranya benar berlaku.

Dalam perkembangan sama, Ka Siong berkata, kerajaan akan mewartakan larangan bagi kenderaan berat untuk menggunakan jalan raya selama lima hari sempena sambutan Aidilfitri tahun ini dalam masa terdekat.

Menurut beliau, larangan itu dijangka berkuat kuasa dari 30 April ini sehingga 2 Mei, sebelum disambung pada 7 Mei hingga 8 Mei bertujuan  memastikan kelancaran aliran trafik yang bertambah dalam tempoh tersebut.

“Saya sudah menandatangani satu warta sama seperti sebelum ini iaitu tiga hari sebelum dan dua hari selepas hari raya. Memang sekiranya diwartakan, semua pemegang permit terutama kenderaan perdagangan tertakluk kepada peraturan diwartakan,” jelasnya.

Sementara itu, Ka Siong berkata, menjadi aspirasi kerajaan menurunkan harga tiket kapal terbang antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak, khususnya dalam musim perayaan, walaupun kerajaan faham alasan kepada kenaikan itu daripada perspektif syarikat penerbangan yang pada masa sama perlu mengambil kira kepentingan rakyat.

“Kita telah minta syarikat penerbangan sama ada hendak atau tidak mereka turunkan kerana ini adalah aspirasi kerajaan. Kita faham perang Rusia-Ukraine beri kesan kenaikan harga minyak, tetapi kita perlu lihat dalam konteks Malaysia di mana satu-satunya pengangkutan yang menghubungkan semenanjung dan Sabah serta Sarawak adalah kapal terbang.

“Kita ambil maklum pandangan diutarakan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak berhubung hal ini dan kerajaan serta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob komited untuk mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan akan melihat beberapa formula yang dicadangkan antaranya syarikat penerbangan terpaksa cari kaedah sama ada menambah frekuensi pesawat atau membatalkan penerbangan di laluan lain.

Tambah Ka Siong, pihaknya telah mempengerusikan satu mesyuarat khas melibatkan semua pemegang taruh antaranya Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan juga tiga syarikat penerbangan domestik iaitu Malaysia Airlines, Air Asia dan Malindo Air, Khamis lalu.

“Setelah laporan dilengkapkan dan perbincangan dimuktamad, saya akan salurkan perkara itu kepada Perdana Menteri. Kita akan cari penyelesaian terbaik dalam tempoh sehari dua ini sebelum ia dapat dimaklumkan kepada rakyat, perbincangan ini melibatkan penerbangan antara semenanjung ke Sabah dan Sarawak,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya