BALIK PULAU: Jumlah keseluruhan sumbangan Saguhati Hari Raya 2022 Zakat Pulau Pinang (ZPP) tahun ini meningkat sebanyak RM5.69 juta melibatkan 9,366 penerima dalam kalangan asnaf fakir dan miskin.
Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata, jumlah itu meningkat sebanyak RM1.43 juta berbanding tahun 2021, malah amaun saguhati yang diterima asnaf meningkat.
”Bagi asnaf fakir, mereka menerima sebanyak RM700 berbanding tahun lalu hanya RM500. Asnaf miskin pula menerima sebanyak RM600 berbanding tahun lalu hanya RM450,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan Skim Inapan Kasih (SIK) di Permatang Pasir, di sini hari ini.
Yang hadir merasmikan majlis penyerahan rumah di bawah skim SIK itu ialah Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Menurut beliau, peningkatan jumlah sumbangan yang diterima oleh asnaf itu berdasarkan peruntukan diluluskan yang merujuk kepada anggaran kutipan zakat fitrah tahun ini iaitu RM6.5 juta yang disasarkan kutipannya.
”Sumbangan bantuan bagi saguhati hari raya ini adalah sepenuhnya daripada dana agihan ZPP. Pendekatan yang digunakan oleh ZPP bagi penyaluran sumbangan ini adalah menerusi kerjasama dengan pihak kariah masjid yang berperanan sebagai pihak yang mengenal pasti asnaf dan penyaluran sumbangan bantuan menerusi akaun masjid masing-masing,” katanya.
Tambahnya, penyaluran saguhati hari raya itu telah dilaksanakan secara berperingkat mulai 18 April yang lalu. – UTUSAN