PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membeli karya lukisan yang memaparkan Dewan Rakyat yang dipenuhi haiwan seperti katak dan monyet.
Karya itu hanya menampilkan tiga wajah manusia seakan-akan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan dua orang lagi kakitangan Parlimen.
Sebaliknya, kesemua tempat duduk dalam Dewan Rakyat diisi oleh haiwan-haiwan seperti katak, monyet, beruk dan gorila.
Gambar Sultan Sharafuddin bersama lukisan itu dimuat naik ke Facebook Selangor Royal Office.
“Sebuah hasil karya seni lukisan telah menarik perhatian Sultan. Sebaik sahaja melihatnya, baginda berkenan untuk membeli karya lukisan itu dan menggantungnya di private study room baginda.
“Satu hari nanti, baginda berhasrat untuk melelong lukisan ini dan hasil lelongannya akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan,” menurut kenyataan itu.
Karya itu seolah-olah menyindir ahli-ahli Parlimen memandangkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti masih belum dapat dilaksanakan ketika ini. – UTUSAN