Stok baju raya laris, orang ramai 'balas dendam' - Utusan Malaysia

Stok baju raya laris, orang ramai ‘balas dendam’

NOOR Suriani Zahid (kanan) membantu pelanggan di gerai miliknya di bazar raya Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di Kuala Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Keterujaan umat Islam menyambut Aidilfitri membolehkan peniaga baju di negeri ini menarik nafas lega apabila jualan mereka naik mendadak melebihi 100 peratus dalam tempoh singkat.

Situasi tersebut pertama kali dilalui rata-rata peniaga sambil menyifatkan trend orang ramai berbelanja sakan itu bagi membalas dendam kerana tidak dapat beraya selama dua tahun akibat Covid-19.

Noor Suriani Zahid, 34, berkata, sehingga kini lebih 500 pasang baju kurung rekaan terkini di gerainya di bazar raya Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini, habis dijual berbanding kelaziman kira-kira 300 pasang dalam tempoh sebulan.

Katanya, permintaan tinggi terhadap pakaian itu turut membuatkannya berulang kali menambah stok pakaian termasuk mengambil secara terus dengan pembekal di Kuala Lumpur.

“Saya terkejut dengan sambutan luar biasa pelanggan kerana sepanjang enam tahun berniaga di bazar raya TTC, situasi sebegini tidak pernah berlaku dan saya menjangkakan jualan dapat mencecah sehingga 2,000 pasang hingga malam raya.

“Lebih mengujakan apabila kebanyakan pelanggan tidak lagi teragak-agak atau berfikir panjang tentang soal harga, sebaliknya terus membeli dua hingga tiga pasang baju sekali gus jika sudah berkenan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Menurut Noor Suriani, pada awalnya dia bimbang stok pakaian dibeli tidak mendapat sambutan, namun sangkaan itu meleset apabila kesemuanya habis dalam tempoh tiga hari umat Islam berpuasa.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, seawal pukul 8 malam bazar raya di lokasi itu sudah dipenuhi orang ramai bagi membeli kelengkapan raya bersama keluarga masing-masing.

Menurut seorang pekerja, Saodah Dollah, 27, warna-warna yang menjadi pilihan ramai pada Syawal kali ini ialah hitam, biru gelap dan terang di samping hijau mint.

“Memang tidak menang tangan layan pelanggan dari pagi hingga malam dan apa sahaja rekaan baju yang dipamerkan, pasti habis terjual dengan pantas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN