PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta untuk berhenti menjadi alat kepada pemimpin politik yang rakus, susulan siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.
Calon Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, tindakan badan pencegah rasuah tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mekanisme yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan itu menyaksikan satu demi satu keruntuhan institusi kerajaan pasca langkah Sheraton dua tahun lalu.
Katanya, tindakan tersebut bukan sahaja melanggar doktrin pemisahan kuasa dan dilihat sebagai campur tangan eksekutif terhadap badan kehakiman, malan memberikan persepsi buruk serta seterusnya melunturkan kepercayaan awam terhadap institusi kehakiman.
“Sebagai salah satu agensi utama, SPRM harus lebih berhati-hati dan memahami betapa pentingnya untuk memastikan sebarang tindakan yang diambil tidak akan menjejaskan struktur asas doktrin pemisahan kuasa, tambahan pula apabila hakim tersebut terlibat dalam memutuskan kes berprofil tinggi sebelum ini dimana kes tersebut juga kini sedang berjalan di mahkamah persekutuan.
“Di saat integriti dan keyakinan awam terhadap SPRM kian terhakis, saya menyarankan agar SPRM berhenti daripada dilihat bertindak sebagai alat kepada penguasa politik yang rakus dan kembali menggalas tugas dengan telus dan amanah.
“Rakyat masih belum lupa akan tindakan siasatan ke atas beberapa ahli politik pembangkang yang kemudiannya menyebabkan mereka berpaling tadah menyokong parti kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hakim Mohd. Nazlan sebelum ini dilaporkan telah membuat satu laporan polis pada 21 April berhubung artikel berita disiarkan portal Malaysia Today yang mendakwa beliau sedang disiasat berhubung pemindahan wang yang tidak dapat dijelaskan ke dalam akaun banknya.
Bagaimanapun, 23 April lepas, akhbar tempatan melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa suruhanjaya itu telah memulakan siasatan terhadap Hakim Mohd. Nazlan berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya, berikutan laporan yang dibuat berkaitan perkara itu.
Menurut Muhammad Kamil, SPRM juga seharusnya bertindak bagi kepentingan rakyat dan bukan demi kepentingan pemerintah.
“Ini adalah soal integriti agensi kerajaan yang saya bimbang kedepan hari hakim-hakim di negara terus dihantui oleh desakan dan ancaman pihak luar,” jelasnya. – UTUSAN