Spekulasi bakal bertanding Parlimen PD, Aminuddin serah keputusan kepada Anwar - Utusan Malaysia

Spekulasi bakal bertanding Parlimen PD, Aminuddin serah keputusan kepada Anwar

AMINUDDIN Harun (dua dari kiri) dalam sidang akhbar di Port Dickson hari ini bagi mengumumkan dirinya akan bertanding merebut jawatan Ketua Cabang PKR Port Dickson dalam Pemilihan PKR 2022.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Keputusan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk bertanding bagi merebut jawatan Ketua Cabang PKR Port Dickson menimbulkan spekulasi baharu.

Ia mengenai sama ada beliau akan menjadi calon yang akan diletakkan oleh PKR bagi mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Kerusi itu kini disandang oleh Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas mengenai perkara itu, Aminuddin yang Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan berkata, sebagai ahli parti, sudah tentu beliau menyerahkan perkara itu untuk diputuskan sendiri oleh Anwar.

“Selalu saya katakan, saya ahli parti dan saya serahkan kedudukan saya kepada Presiden saya, kepada kepemimpinan parti, kalau beliau arahkan saya untuk bertanding Parlimen Port Dickson, saya akan bertanding.

“Kalau diarahkan saya untuk terus bertandung di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), saya akan terus bertanding. Itu kehendak parti dan bukannya kehendak individu, jadi saya serahkan dan akan beri khidmat saya di mana juga malah jika tidak bertanding pun saya akan berikan perkhidmatan saya,” katanya dalam sidang akhbar di Lukut di sini hari ini.

Dalam sidang akhbar tersebut, Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat mengumumkan bahawa beliau bertanding sebagai calon Ketua Cabang PKR Port Dickson dalam Pemilihan PKR 2022.

Ia sekali gus menyaksikan beliau bakal disaingi oleh ADUN Sri Tanjung, Datuk M. Ravi yang terlebih dahulu mengumumkan akan bertanding untuk mempertahankan jawatan tersebut.

Anwar yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menjadi Ahli Parlimen Port Dickson selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen berkenaan pada 13 Oktober 2018.

PRK Port Dickson diadakan selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi itu pada 12 September 2018 bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya