Sorok mercun dalam tong ais

Sorok mercun dalam tong ais

TONG ais dijadikan sebagai tempat untuk menyorokkan mercun dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Pondok Pasir Tumbuh, Kota Bharu, Kelantan. -  IHSAN PGA 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Taktik seorang lelaki menyorok pelbagai jenis mercun bernilai RM4,422 dalam tong ais di sebuah rumah di Jalan Pondok Pasir Tumbuh, di sini gagal mengaburi mata pihak berkuasa.

Mercun diseludup dari Thailand dan dipercayai untuk pasaran tempatan itu dirampas dalam serbuan dilakukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan pada pukul 2 pagi ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintenden Azhari Nusi berkata, terdahulu, pihaknya menahan suspek selepas menjumpai pelbagai jenis mercun bernilai RM1,306 di belakang kedai runcit di Kampung Peringat, di sini pada pukul 1 pagi.

“Hasil soal siasat suspek berusia 24 tahun, serbuan kedua dilakukan ke atas sebuah rumah pada pukul 2 pagi dan menjumpai satu unit tong ais yang digunakan untuk menyorokkan mercun bernilai RM4,422.

“Siasatan awal mendapati mercun berkenaan diseludup masuk ke negara ini melalui pangkalan haram untuk pasaran sekitar Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kata Azhari, selain rampasan mercun dengan nilai keseluruhan RM5,728, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit bernilai RM1,000 milik suspek.

“Suspek dan semua barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Melor untuk disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“PGA akan terus memperketat kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini menerusi penugasan Op Wawasan Kelantan bagi membendung kegiatan jenayah rentas sempadan,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya