Sofia Rania masih trauma - Utusan Malaysia

Sofia Rania masih trauma

GAMBAR Ryana Mohd Nor bersama-sama anaknya, Sofia Rania
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Adik Sofia Rania, 8, yang ditemukan selepas lima jam dilaporkan hilang dari sekolahnya di Cheras dekat sini masih trauma ekoran kejadian menimpanya semalam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, ibu kanak-kanak berkenaan, Ryana Mohd Nor, 41, berkata, ketika ditemukan, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Midah 1, Cheras dalam keadaan ketakutan.

“Ketika tiba di balai polis semalam, dia terus meluru memeluk saya dalam keadaan menggigil dan ketakutan.

“Bagaimanapun, hari ini dia bertambah baik, namun, masih trauma dengan apa yang berlaku semalam,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Dalam pada itu, Ryana turut menafikan anaknya tersilap menaiki van sehingga dilaporkan hilang kerana mereka tidak pernah menggunakan perkhidmatan pengangkutan berkenaan untuk ke sekolah.

“Setiap hari saya atau ahli keluarga yang lain akan menghantar dan mengambil anak-anak di sekolah, kami tidak menggunakan perkhidmatan van,” ujar beliau.

Ryana turut menyarankan meletakkan kamera litar tertutup (CCV) di tempat menunggu untuk memudahkan pihak berkaitan jika berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.

Malah, ujarnya, terdapat guru yang ditugaskan untuk menjaga murid-murid di tempat menunggu jadi pihak sekolah perlu memaklumkan nombor telefon guru terbabit kepada ibu bapa atau penjaga agar senang dihubungi.

“Ini kerana murid tiada telefon untuk dihubungi malah pejabat pula akan tutup selepas pukul 5 petang jadi jika guru ‘on duty’ dikongsikan nombor telefon senang untuk ibu bapa hubungi” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, perkhidmatan van yang mengambil Sofia mendakwa tersalah menjemputnya sebelum disedari pemandu kenderaan terbabit.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kanak-kanak itu diambil pemandu van sebelum dihantar di kondominium, lokasi kanak-kanak tersebut ditemukan.

Menurut beliau, bagaimanapun, perkara itu disedari apabila pemandu van berusia 40-an itu dihubungi bapa kanak-kanak yang sepatutnya dijemputnya.

“Lelaki itu sepatutnya mengambil kanak-kanak lain yang mempunyai nama sama dengan Sofia. Apabila menyedari hal itu, dia terus menjemput ‘Sofia’ sebenar sebelum menyedari kehilangan kanak-kanak itu telah tular.

“Kita telah mengambil keterangan lelaki itu bagi membantu siasatan. Hasil pemeriksaan awal mendapati, kanak-kanak terbabit dalam keadaan sihat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya.

Semalam tular kanak-kanak berusia lapan tahun itu dilaporkan hilang dari sekolah selepas ibunya dikatakan terlewat mengambilnya akibat kesesakan lalu lintas. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya