Sistem sekolah boleh kritikal jika bersara awal berterusan

Sistem sekolah boleh kritikal jika bersara awal berterusan

KERATAN akhbar laporan Utusan Malaysia 22 Mac 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem persekolahan boleh menjadi kritikal sekiranya trend persaraan awal dalam kalangan guru yang dilihat hampir menyamai kadar guru bersara wajib berterusan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, satu kajian komprehensif perlu dibuat bagi melihat permasalahan yang dihadapi secara keseluruhannya serta penyelesaian bagi menghadapinya.

Kata beliau, ini kerana trend tersebut bakal memberi masalah besar sekiranya kerajaan terutama Kementerian Pendidikan tidak mengambil langkah atau tindakan awal bagi menanganinya.

“Saya melihat trend ini perlu dikaji betul-betul sama ada apakah ia fenomena sementara atau berterusan begitu.

“Jika berterusan, ia boleh beri kesan kepada guru yang ada kerana unjuran dalam pengisian perjawatan dipakai sekarang bersasar kepada guru bersara wajib. Apabila bersara awal semakin meningkat, maka perlu dilihat bagaimana nak tampung kekosongan guru,” katanya ketika dihubungi.

Mac lalu, media melaporkan, Kementerian Pendidikan dalam proses memperincikan data serta penilaian sebenar berhubung trend persaraan awal dalam kalangan guru yang dilihat hampir menyamai kadar guru bersara wajib.

Perincian bukan sahaja dari segi jumlah, namun turut meliputi beberapa perkara lain termasuk mengenai sebab, punca, usia, serta pengalaman dalam karier perguruan bagi yang memohon bersara awal.

AMIN SENIN

Menurut Amin, unjuran lima tahun ke depan mungkin perlu dibuat kerana pelajar memerlukan masa empat hingga lima tahun sebelum boleh menjadi guru.

“Tetapi ketika ini tidak begitu kritikal, cuma kemungkinan trend ini berterusan, maka ia perlu difikirkan,” katanya.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) pula menyifatkan antara punca utama guru baharu bersara awal adalah kerana sangat tertekan dengan budaya kerja yang banyak dicampur-aduk dengan tugas lain yang tidak relevan.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, peranan guru adalah mendidik anak bangsa tetapi yang berlaku hari ini adalah guru lebih dibebankan dengan kerja pentadbiran dan pengurusan data.

“Kita kena lihat punca itu secara keseluruhan. Tak adil meletakkan satu punca sebagai faktor utama kerana ia mungkin gabungan pelbagai faktor yang lain.

“Banyak faktor lain boleh diambil kira seperti ketahanan kesihatan. Apabila masuk dalam kelas dan hadap anak murid, guru banyak memerlukan tenaga sebab banyak berfikir dan bercakap, jadi ia berlainan dari kerja lain yang tidak melibatkan anak murid.

“Ada kewajaran mungkin beban kerja itu punca utama, tetapi kita jangan cepat berikan kesimpulan sebab takut itu hanya fenomena semasa. Sebab itu kita kena kaji betul-betul untuk elak dari buat keputusan tak betul,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya