SEPANG: Pemeriksaan dan pengauditan secara menyeluruh perlu dilaksanakan terhadap sistem ePerolehan bagi mengesanberlaku pencerobohan sistem oleh individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab sekali gus membanteras isu integriti.
Penolong Pengarah Pusat Keselamatan Kontemporari, Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS), Kementerian Pertahanan, Lt Kol Dr. Maimunah Omar berkata, sistem tersebut boleh dimanipulasi oleh mereka yang mengetahui ruang dan peluang melakukan perbuatan tersebut.
“Ini daripada responden kami yang memaklumkan, walaupun ePerolehan adalah sistem terbaik yang pernah diperkenalkan atau sedang atau akan ditambah baik, tetapi sistem ini boleh dimanipulasi oleh mereka yang tahu.
“Bagaimanapun, ruang dan peluang ini kami sudah kongsikan kepada Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Nasional (GIACC) untuk makluman selanjutnya dan kami masukkan dalam laporan,” katanya.
Beliau membentangkan kajian bertajuk Tadbir Urus Dan Pengurusan Risiko Rasuah Di Dalam Sektor Pertahanan pada Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan di sini.
Maimunah berkata, tindakan perlu diambil kerana sistem tersebut adalah di luar kawalan Kementerian Pertahanan iaitu diperkenalkan oleh Kementerian Kewangan.
“Saya yakin apa yang kami kenal pasti masalah ini dihadapi sama dengan mereka yang berurusan dengan kementerian lain sebab modus operandi adalah sama menggunakan sistem tersebut,” ujarnya. – UTUSAN