KUANTAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan sindiket rokok tidak bercukai dengan keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM344,436.20 dalam satu tangkapan ydi Bandar Indera Mahkota, di sini semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Hasan Basri Ahmad Safar berkata, tangkapan itu berikutan Op Kontraban Pantai Timur.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Briged Tenggara PGA menahan seorang lelaki warga tempatan di sebuah kereta di hadapan sebuah rumah di Bandar Indera Mahkota, di sini sekitar pukul 7.30 malam.
“Hasil pemeriksaan di rumah tersebut telah menemukan kotak-kotak dan di dalamnya mengandungi rokok yang dipercayai tidak bercukai. Rampasan melibatkan 777 karton pelbagai jenis rokok putih bernilai RM66,220 dengan nilai cukai RM115,885 melibatkan nilai keseluruhan bagi rokok ini adalah sebanyak RM182,105.
“Turut dirampas 363 karton pelbagai jenis rokok kretek bernilai RM63,360 dengan nikai cukai sebanyak RM89,971 dengan keseluruhan nilai rampasan bagi rokok ini adalah sebanyak RM153,331,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain itu menurut Hasan Basri, turut dirampas adalah sebuah kereta yang dianggarkan bernilai RM9,000 menjadikan keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM344,436.20.
Katanya, berdasarkan siasatan, suspek yang berusia 47 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 yang mana lebih tinggi atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Sepanjang tempoh Januari hingga April tahun ini, Briged Tenggara PGA berjaya menghasilkan 46 kes tangkapan dan rampasan kontraban di bawah Akta Kastam 1967. Keberhasilan ini melibatkan tangkapan seramai 27 orang suspek warga tempatan iaitu 23 lelaki dan empat perempuan serta 29 buah kenderaan dengan keseluruhannya membabitkan nilai rampasan RM4,513,962,” katanya.- UTUSAN