CYBERJAYA: Satu sindiket penipuan yang menggunakan nama pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi membuat perolehan serta pembelian aset daripada sebuah syarikat perabot, telah dikesan oleh lembaga tersebut.
LHDN dalam satu kenyataan memberitahu, sindiket terbabit telah menyediakan dua kad nama palsu yang menggunakan nama pegawai LHDN bagi membolehkan mereka membuat pesanan pembelian peralatan perabot untuk kegunaan di pejabat lembaga berkenaan.
“Bagi meyakinkan lagi mangsa, sindiket ini turut menyediakan dokumen pesanan pembelian (purchase order) palsu bagi tujuan yang tidak bermoral ini.
“Dokumen tersebut mengandungi butiran jenis-jenis peralatan perabot yang ingin dipesan serta turut dilengkapi dengan tanda tangan palsu pegawai LHDN,” katanya hari ini.
Sehubungan itu, kenyataan tersebut memberitahu, LHDN mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan kegiatan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai lembaga bertujuan untuk memperdayakan mangsa.
Tambahnya, LHDN amat memandang serius terhadap perkara ini dan orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan setiap panggilan, email mahupun surat atay dokumen yang meragukan.
“(Ini dilakukan) dengan mendapatkan pengesahan daripada LHDN terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi dalam talian,” katanya.
Jelas kenyataan tersebut, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara tersebut boleh mengemukakannya kepada LHDN melalui talian 03-8911 1000 untuk pemanggil dalam negara atau 603-8911 1100 untuk pemanggil luar negara.
Selain itu tambah kenyataan tersebut, pertanyaan boleh dipanjangkan ke HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/. – UTUSAN