SHAH ALAM: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menyaksikan pelantikan ketuanya yang baharu, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim menggantikan Senior Asisten Komisioner, Baharudin Mat Taib.
Mohd. Iqbal, 41, sebelum ini adalah Ketua Penolong Pengarah (Kawalan Lalu-Lintas) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, menggantikan Baharudin yang dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor.
Pemakaian pangkat dan serah terima tugas disaksikan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed di pekarangan IPD Shah Alam, hari ini.
Mohd. Iqbal dalam ucapannya memaklumkan, beliau tidak kekok bertugas di negeri ini memandangkan pernah berkhidmat selama sembilan tahun di IPD dan Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Selangor.
“Bagaimanapun, selari peredaran masa trend jenayah juga berubah dan besar harapan semua pegawai serta anggota IPD ini bekerjasama dengan saya agar urusan pentadbiran berjalan lancar,” katanya.
Sementara itu, Baharudin mengakui tugas di IPD Shah Alam sangat mencabar dan memerlukan komitmen tinggi.
“Namun, semuanya dapat ditangani dengan bimbingan Arjunadi yang penuh pengalaman dan berkaliber.
“Kejayaan juga hasil kerjasama dan sokongan kuat dari semua pegawai dan anggota polis IPD ini termasuk ketika kejadian bencana banjir di Sri Muda sebelum ini,” ujarnya. – UTUSAN