‘Semua pasukan saya masuk’ - Aminuddin - Utusan Malaysia

‘Semua pasukan saya masuk’ – Aminuddin

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kesemua calon yang bertanding dalam pemilihan PKR kali ini, akhirnya nanti perlulah fokus bekerja sebagai satu pasukan bagi memberikan khidmat kepada parti dan negara.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga salah seorang calon yang akan merebut empat kedudukan Naib Presiden PKR berkata, walaupun seseorang calon itu dikatakan daripada sesuatu pasukan, mereka perlulah nanti berfungsi sebagai satu pasukan.

“Terima kasih masukkan saya dalam pasukan tersebut. Semua pasukan saya masuk, tetapi apabila Rafizi (Ramli) letakkan saya dalam pasukan tersebut, saya ucapkan terima kasih. Kita kena bekerja sebagai satu pasukan, iaitu pasukan Keadilan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusi Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Semalam, calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli tampil dengan ‘pasukannya’ yang akan merebut jawatan utama parti dalam pemilihan PKR 2022.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu dalam kenyataannya turut menamakan Aminuddin yang akan bertanding jawatan Naib Presiden PKR selain Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas Ahli Parlimen Kapar, G. Manivanna.

Turut dinamakan oleh Rafizi ialah, bekas Ketua Wanita PKR Selangor, Rodziah Ismail yang akan bertanding jawatan Ketua Wanita PKR dan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Fahmi Zainol bagi jawatan Ketua AMK.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kedudukan beliau sebagai Menteri Besar, bukanlah menjadi kelebihan buatnya untuk menduduki jawatan Naib Presiden tersebut.

“Yang bertanding ada merupakan bekas menteri, ada macam-macam latar belakang, semuanya layak, ada kelebihan serta mempunyai pengaruh masing-masing. Kalau mungkin Menteri Besar pun, pengaruh hanya di Negeri Sembilan sahaja, sedangkan ahli di Negeri Sembilan (jumlahnya) adalah tidak besar sangat.

“Kalau dibandingkan di Selangor, keahlian terbesar di Selangor, kemudian di Sabah. Itu yang lebih sebenarnya (memberikan kelebihan). Kita bukan melihat perkara itu tetapi melihat bagaimana kita untuk beri khidmat bakti untuk parti dan negara.

“Saya serahkan kepada penyokong dan pengundi-pengundi, ahli-ahli Keadilan untuk menentukan, kalah menang itu adat pertandingan,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya