SUNGAI PETANI: Sembilan buah kereta rosak selepas ditimpa sebatang pokok sena tumbang di kawasan parkir di Klinik Kesihatan Bandar di sini hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.20 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang diketuai Sarjan (PA) Y.Visvanathan mendapati pokok sena yang tumbang itu setinggi 11 meter dan dianggarkan berusia lebih 50 tahun.
“Anggota APM kemudian memotong dan mengalihkan pokok tersebut. Tiada kecederaan dilaporkan manakala operasi tamat pada pukul 4 petang pada hari sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, seorang saksi, Mohd. Asri Ahmad, 51, berkata, ketika kejadian dia berada di kawasan klinik kesihatan tersebut sebelum melihat pokok itu tumbang.
Katanya, dia kemudian keluar melihat lebih dekat dan mendapati terdapat beberapa buah kenderaan dipercayai milik kakitangan klinik kesihatan tersebut rosak akibat dihempap pokok tersebut.
“Pokok Sena tersebut sudah berusia dan batangnya juga sudah reput dan tidak selamat. Sepatutnya tindakan menebang pokok tersebut sudah lama dilakukan bagi mengelak insiden ini berlaku,” ujarnya.- UTUSAN