Selangor ambil inisiatif tanam jagung kurang kos makanan ayam - Utusan Malaysia

Selangor ambil inisiatif tanam jagung kurang kos makanan ayam

IZHAM Hashim (kanan) bertanya khabar kepada peniaga ayam ketika Pasar Tani Seksyen 13 di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan memulakan projek penanaman jagung khusus untuk makanan ayam selepas Hari Raya Aidilfitri bagi mengatasi isu kenaikan harga makanan ternakan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim berkata, projek tanaman tersebut dijalankan atas tanah seluas 400 ekar di Negeri Sembilan manakala 300 ekar lagi di negeri ini.

“Langkah itu juga bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan ayam yang ketika ini mencecah RM7 bilion dan disifatkan tidak munasabah. Kita harap perkara ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat agar (isu) harga ayam boleh diselesaikan, bukan setakat stabil tetapi diturunkan lagi.

“Memang terbukti berjaya (penanaman jagung untuk makanan ayam). Jika berjaya dilaksanakan, Selangor akan menjadi pelopor (penghasilan jagung untuk makanan ayam),” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Dr. Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, lebih RM3 juta dibelanjakan bagi pelaksanaan projek penyelesaian jangka masa panjang susulan peningkatan harga makanan ayam.

Jelasnya, kerja pembersihan tanah di Kuala Langat Selatan dan lokasi yang sedang dikenal pasti di Negeri Sembilan giat dijalankan sebelum projek terbabit bermula.

“Sekarang dalam perbincangan terakhir untuk kerjasama rentas negeri Selangor dan Negeri Sembilan. Insya-Allah, selepas raya kita akan mulakan projek penanaman. Perkara ini juga akan diumumkan oleh Menteri Besar,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya