‘Sekejap lagi, saya bayar balik’ - Utusan Malaysia

‘Sekejap lagi, saya bayar balik’

Seramai 17 lelaki ditangkap dengan tumpasnya sindiket Call Centre penipuan Macau Scam di, Johor Bahru, Johor pada Februari tahun lalu. – MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA hari lalu, ramai kawan media saya memuat naik status dalam media sosial, mereka dihubungi oleh seorang ‘ahli politik’ melalui aplikasi WhatsApp yang ingin meminjam wang.
Dengan menggunakan gambar seorang ahli politik, dia meminta kawan-kawan saya memasukkan wang di dalam akaun kawannya dan berjanji akan membayar dalam masa beberapa jam kerana akaun simpanannya bermasalah.
Sudah tentu perbuatan itu menimbulkan gelak ketawa kami kerana scammer tersebut menggunakan gambar ahli politik yang walaupun bukan seorang menteri tetapi semua pun tahu dia bertaraf ‘kayangan’, tak akan hendak pinjam duit pada kita rakyat marhaen? Ada kawan yang membalas mesej ‘ahli politik” berpangkat dato itu – “Saya tak deal duit melalui online tok, saya bagi cash. Saya di kampung ini, datanglah sini.” Dan perbualan habis di situ.
Penyamaran scammer sebegini sebenarnya sudah lama berlaku dan ramai juga terpedaya dengan taktik ini walaupun memberikan duit yang sedikit. Cuma apabila dia meletak gambar ahli politik tentulah ia begitu mudah dikesan penipuannya tetapi bagaimana jika dia menyamar menjadi kawan atau saudara mara lain menggunakan gambar yang diambil dari media sosial mereka?
Dengar ceritanya, ahli politik yang digunakan nama dan gambarnya itu sudah pun membuat laporan polis.
Sekarang ini betapa senang akaun media sosial digodam scammer, bukan saja meminta wang tetapi ada juga memuat naik gambar lucah dan dihantar pada kawan-kawan lain dan yang dapat nama busuk sudah tentu pemilik akaun media sosial berkenaan.
Bayangkan dalam tempoh tiga bulan saja dalam tahun ini, sejumlah keseluruhan RM2 juta keru­gian dialami oleh mangsa-mangsa yang tertipu dengan menggunakan taktik tengah dalam kesulitan dan akaun simpanan ada masalah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din memberitahu, sebanyak 314 kes penipuan dengan menyamar sebagai rakan atau kenalan menerusi media sosial direkodkan bagi tempoh Januari hingga Mac lepas.
Menurut beliau, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menggodam akaun media sosial seperti WhatsApp, Telegram dan Facebook milik individu tertentu, kemudian menyamar sebagai pemilik akaun tersebut. Penyamar itu kemudian menghubungi semua rakan pemilik asal akaun berkenaan untuk meminjam wang.
Itu kes yang dilaporkan, bagaimana pula dengan tidak dilaporkan kerana mangsa berasa wang yang ditipu itu sedikit dan malas untuk melaporkan kepada polis? Sedangkan, kalau scammer itu berjaya menipu RM20 pun, kalau sudah 10 orang dia kelentong, lepaslah dia duit makan seminggu dan itulah kerjanya sampai dia insaf.
Ramai yang hairan, kenapa mangsa-mangsa ini ‘lurus bendul’ sangat mudah percaya dan takut dengan ugutan scammer. Itu pun satu soalan besar saya kepada mangsa. Kenapa senang percaya?
Saya juga pernah dihubungi oleh pihak insurans dari bank kononnya memberikan tawaran ‘tak masuk akal’ menjual insurans perubatan dengan harga murah. Wanita itu memberi salam, bercakap lemah lembut. Saya memintanya e-mel saja segala maklumat tentang insurans itu tetapi dia memberi alasan bank tak beri dia menggunakan e-mel bank dan meminta terus saja nombor kad kredit saya untuk potongan, walhal saya tidak bersetuju apa-apa pun.
Senang betul cari duit sebegitu dan saya terus memutuskan perbualan. Buang masa betul melayan.
Memang dalam dunia ‘tipu-tipu’ ini, kita tidak boleh beri muka kepada mana-mana scammer tak kiralah yang menyamar pegawai LHDN, pegawai KKM, pegawai bank atau yang tiba-tiba beritahu kita menang peraduan! Perbuatan ini perlu dilaporkan.
Memberi mereka ‘tarbiah’, memaki hamun dan bergaduh dalam telefon, percayalah ia tidak akan memberi mereka keinsafan dan rasa takut. Ini bukan soal siapa bodoh kena tipu, atau siapa pandai menipu. Jenayah ini harus dihentikan dan jangan diberikan ruang mereka menjadikannya sebagai ‘kerjaya tetap’ di waktu-waktu sukar ini.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya