Saya tidak kaya dan tidak miskin - Pyanhabib - Utusan Malaysia

Saya tidak kaya dan tidak miskin – Pyanhabib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Figura yang ditampilkan dalam ruangan ini, pada kali ini merupakan seseorang yang besar jasanya bukan sahaja dalam bidang penulisan, malah filem dan drama.

Mohd. Supyan Abdul Rahman atau Pyanhabib adalah individu yang cukup dihormati. Kebolehannya luar biasa, baik menulis mahupun berlakon. Itu kelebihan yang Tuhan berikan kepadanya.

Dia dilahirkan di Taiping, Perak. Sejak usia remaja, Pyan bercita-cita menjadi seorang penulis puisi dan penyair yang disegani. Minatnya dalam bidang penulisan sentiasa menebal.

Di usia 15 tahun, dia meluangkan banyak masa di kedai runcit di kampung halamannya, membaca Utusan Zaman yang diterbitkan dalam tulisan jawi.

Membaca adalah ‘senjata’ yang menjadikan siapa Pyanhabib yang sekarang. Dahulu, dia terdorong dengan puisi-puisi yang dimuatkan dalam akhbar tersebut.

Itu adalah pembakar semangat seorang Pyanhabib dalam merealisasikan impian usia remajanya.

Dua buah kumpulan puisi indie yang ditulis sendiri olehnya adalah Suara dan Saraf Dukaku. Pyan juga pernah menerbitkan Balada Pyanhabib, koleksi lengkap kepenyairan beliau.

Baru-baru ini saya berpeluang bertemu Pyan untuk mendapatkan ceritanya. Dalam berkongsi kisah, dia menceritakan titik permulaannya menjadi penulis dan penyair.

“Dalam bidang penulisan, saya bermula dengan angan-angan. Angan-angan mahu menjadi penyair, mahu jadi penulis. Penyair yang menulis puisi. Yang hari ini, bidang yang lahir daripada angan-angan itu sejak berpuluh tahun lalu, antara lain sudah pun menjadi periuk nasi saya. Sebagai penulis dan penyair, saya tidak kaya dan tidak miskin.

“Tidak ada halangan atau cabaran dalam penulisan. Yang ada hanya angan-angan dan keinginan. Memasuki bidang penulisan adalah memasuki dunia angan-angan dan saya meraikannya sejak 1973.

“Menulis sajak memang seronok. Seronoknya bila sajak yang tidak seberapa tersiar dalam akhbar dan Dewan Sastera walaupun honorarium sebuah sajak yang tersiar berapa sen lah sangat,” ceritanya.

Jika ada mengatakan hidup penulis atau penyair itu selesa dan kaya raya, mereka silap. Pyan adalah contoh yang boleh kita ambil. Ketika muda, dia melakukan pelbagai kerja, lalui kepayahan demi kelangsungan hidup.

“Tahun 1976, saya pernah bekerja cuci pinggan di Restoran Minang di Jalan Raja Alang, Chow Kit pada sebelah malam. Siangnya saya bersekolah di Yayasan Anda, Kampung Baru.

“Saya juga pernah kerja cuci pinggan di gerai makan pokok beringin berhampiran Medan Bonus dan belajar kelas malam di Institut Ibnu Sina di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.

“Tahun 1983, saya sertai Utusan Melayu dan bertugas di sidang pengarang Mastika (edisi pelajar) 10 tahun sebelum bertukar ke jabatan pengarang Utusan sebagai penyunting dan berhenti tahun 2000,” kongsinya.

Tolak anugerah, dituduh sabotaj

Bagi Pyan, bidang lakonan filem bukanlah angan-angannya. Namun, ketentuan itu diterimanya dengan senang hati.

Ceritanya, pengarah tersohor, Nasir Jani menjadi individu yang bertanggungjawab membawanya ‘hidup-hidup’ dalam filem Kembara Seniman Jalanan (KSJ) tahun 1986.

“Di Festival Filem Malaysia Ke 6 (1986), satu Malaya tahu saya dicalonkan pelakon pembantu lelaki terbaik untuk KSJ dan bukan untuk filem Tsu Feh-Sofiah. Penganjur bikin sabotaj, mereka umum penolakan KSJ di atas pentas di hadapan penonton.

“Semasa saya dijemput naik pentas, saya tak tahu apa-apa bila saya diberi anugerah khas juri untuk watak sebagai Sudin dalam Tsu Feh-Sofiah. Apabila saya yang ‘tak tahu apa-apa’ tolak anugerah yang diberi, saya pula dituduh sabotaj, tak reti adat Melayu bagai.

“Anugerah untuk orang filem itu penting untuk bina imej tetapi saya yang datang dari bidang penulisan, saya fikir saya tidak memerlukannya,” katanya.

Sehingga kini, Pyan sudah pun terlibat dalam lapan naskhah yang rata-ratanya merupakan tawaran yang datang daripada kenalan-kenalannya.

“Saya terlibat dalam lakonan sekitar lapan filem yang seluruhnya dijemput oleh mereka yang saya kenal. Saya tidak biasa dengan orang filem yang saya tidak kenal dan saya pun tidak minta untuk terlibat dalam filem-filem mereka. Dalam kata lain, saya terlibat hanya bila diajak.

“Saya tidak memilih skrip. Malah ada yang tidak berskrip pun dan skrip atau dialog dihasilkan semasa di lokasi. Sejak 1980an, saya terlibat dalam beberapa lakonan drama TV dan saya tidak pernah menontonnya sebab zaman remaja saya hidup huru-hara dan tidak tonton televisyen (TV).

“Saya pernah terlibat dalam beberapa babak bersama Noor Kumalasari dalam sebuah drama RTM yang entah apa tajuknya dan saya pun tak pernah tonton,” selorohnya.

Bercerita lanjut, Pyan memaklumkan dia akan muncul dalam sebuah drama, arahan pengarah muda, Ariff Zulkarnain. Persetujuannya untuk muncul sebagai cameo dalam drama tersebut adalah antara lain disebabkan skrip kreatif yang dihasilkan generasi muda.

“Drama bersiri lapan episod yang saya dikutip masuk hanya sebagai undangan, cameo kata orang filem. Drama lapan episod ini berkisah akan hal-hal jenayah manakala skrip oleh Alfie Palermo.
“Terlibat dalam drama bersiri terbitan Astro ini antara lain ialah Faizal Hussein, Amerul Affendi, Syafiq Kayle, Sofea Jane dan beberapa lagi.

“Saya terima tawaran kerana saya didatangi dengan ikhlasnya dan pengarah drama dan penulis skrip pula terdiri anak muda kreatif yang penuh semangat,” ujarnya.

Tiada ruang berputus asa

Sepanjang terlibat dalam bidang penulisan, Pyanhabib menyatakan tidak pernah rasa putus asa. Katanya, dalam kehidupan juga, dia tidak pernah putus asa.

“Kehidupan dalam dunia penyair adalah terapi untuk saya. Dalam bidang penulisan, sepatutnya tidak ada ruang untuk kita berasa puas. Tetapi tidak salah kalau saya mahu berasa puas kerana angan-angan saya menjadi nyata.

“Ya, saya mahu jadi penulis, mahu jadi penyair dan ia jadi. Sewaktu mula berangan jadi penyair pada pertengahan 1970-an dulu, saya mahu walau hanya sebuah sajak saya tersiar dalam Dewan Sastera sebagai bukti kesungguhan dan kepuasan seumur hidup,” tegasnya.

Pada masa sama, dalam jawapan balas yang diberikan kepada saya, Pyan selitkan sedikit teguran yang pada saya, bermakna dan dalam pengertiannya.

“Bercakap pasal filem, saya rasa ada benda bangang bila filem disebut hanya ‘industri’. Fahamkah kita apa itu ‘industri’? Tahu tak, kilang besi pun industri. Industri besi.

“Kalau ya pun mahu sebut industri terhadap penerbitan filem di Malaysia yang tidak seberapa itu, kenapa tidak disebut penuh iaitu ‘industri filem’? Hanya sebut industri bila bercakap pasal filem atau muzik, muntahlah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya