‘Saya tidak akan bercuti jika kalah’ - Utusan Malaysia

‘Saya tidak akan bercuti jika kalah’

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan tidak akan ‘bercuti’ mahupun meninggalkan PKR sekiranya kalah dalam pemilihan parti Mei ini yang disaingi pencabarnya, Rafizi Ramli.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jelas Saifuddin, ia sebagai jaminan kepada anggota parti yang memberi kepercayaan terhadapnya untuk menjadi calon timbalan presiden yang kosong sejak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipecat daripada PKR.

“Kalau dari segi perlembagaan parti, tugas timbalan presiden adalah untuk mempengerusikan mesyuarat, biro pengurusan, ia bagi membantu kerja-kerja Presiden.

“Tapi, selama PKR dalam tempoh 23 tahun ini, timbalan presiden itu pernah kita berikan mandat sebagai Pengarah Pilihan Raya. Pernah Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) pegang untuk beberapa kali. Timbalan Presiden juga mengetuai rundingan kerusi dengan parti-parti gabungan.

“Setiausaha agung parti ini ibarat seperti engine room bagi sebuah parti, perkara-perkara berkaitan disiplin, keanggotaan, pendaftaran ranting dan sebagainya. Tetapi, sekarang ini, apabila kekosongan itu berlaku sejak dua tahun, saya mengambil tanggungjawab untuk banyak perkara,” katanya dalam pertemuan di ibu pejabat PKR di sini semalam.

Saifuddin berkata, beliau akan menghormati apa sahaja keputusan pemilihan parti nanti.

“Kalau mereka pilih saya, saya tunaikan amanah sedaya mungkin, jika tidak terpilih saya tidak akan berundur, apatah lagi mengisi borang cuti, sebab saya tidak ada pilihan lain.

“Pertama, saya tiada perniagaan kerana saya ahli politik sepenuh masa. Saya Ahli Parlimen dan saya adalah Ahli Dewan Undangan Negeri. Saya tiada empayar, perniagaan. Saya cuma ada parti politik iaitu PKR. Saya tiada parti lain. Jadi kalau saya menawarkan diri, anggota parti bagi peluang, Alhamdulillah saya tunaikan,” katanya.

Selepas Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rafizi yang ketika itu Naib Presiden PKR mengumumkan beliau tidak berminat untuk kembali menyertai politik atau menyandang sebarang jawatan penting dalam kerajaan ketika itu.

Menurutnya, beliau mahu berehat dalam tempoh dua hingga empat tahun menjadi orang biasa serta menumpukan kepada keluarga ekoran banyak masa dihabiskan ketika aktif politik.

Dalam tempoh pemerintahan PH ketika itu, PKR telah memecat Azmin pada 24 Februari 2020 yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Presiden parti susulan berlaku pengkhianatan dalam

Langkah Sheraton sehingga kerajaan PH tumbang selepas 22 bulan memerintah.

Azmin pada hari yang sama turut mengisytiharkan keluar parti bersama 10 ahli parlimen PKR yang lain bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen.

Sejak itu ada kelompongan jawatan timbalan presiden selama dua tahun dengan peranannya digalas oleh Saifuddin sehingga kini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya