PORT DICKSON: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, beliau memberikan sokongan kepada semua calon yang tampil untuk bertanding dalam pemilihan parti itu ketika ini.
Jelas Anwar, tuduhan kononnya ada calon tertentu yang bertanding pada Pemilihan PKR pada bulan Mei depan telah mendapat ‘wahyu’ dari beliau, merupakan sesuatu yang disifatkan biasa dibangkitkan dalam setiap kali proses pemilihan.
“Biasalah dalam pemilihan ini, semua perkara-perkara ini dibangkitkan, ia biasa. Bagi saya, kalau siapa pun kata mahu bertanding, saya kata okay, insya-Allah, semua sekali.
“Siapa pun mahu bertanding saya berikan sokongan, seperti di sini (Cabang Port Dickson) empat penjuru, jadi semua saya kata okay, silakan, biasalah,” katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan peniaga dan pengunjung dalam Program Walkabout Bazar Ramadan di Bazar Ramadan Batu 4, di sini hari ini.
Kelmarin, calon Timbalan Presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli dilaporkan berkata, pemilihan PKR kali ini sewajarnya tidak dicemarkan dengan emosi, serangan peribadi atau kempen yang bersandarkan ‘wahyu’
“Saya sedar ada calon-calon yang menyebarkan konon mereka menjadi pilihan presiden parti dan memberi gambaran jika tidak mengundi mereka, itu tidak setia kepada ‘institusi presiden'” kata Rafizi.
Sementara itu, Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson meminta supaya tidak dibuat andaian kononnya keputusan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk bertanding di Cabang Port Dickson merupakan langkah untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu menjadi calon Parlimen Port Dickson dalam pilihan raya umum akan datang.
“Belum ada apa-apa keputusan, usah buat banyak sangat andaian, masa ini adalah masa pemilihan parti, dan bukan pilihan raya jadi ia tiada kaitan. Yang menang berkemungkinan jadi calon, yang tidak menang pun ada kemungkinan jadi calon,” katanya lagi.
Ditanya pula sama ada beliau akan mempertahankan kedudukan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson dalam Pilihan Raya Umum Ke-15, Anwar berkata, beliau belum membuat keputusan mengenainya. – UTUSAN