ARAU: Tidak sampai dua minggu menjelangnya sambutan Aidilfitri, pengusaha ketupat palas menjadi antara individu paling ‘sibuk’ dalam menyiapkan tempahan makanan tradisi itu.
Malah, bagi seorang pengusaha ketupat palas, Emiza Zulkifli, 33, dia terpaksa memberhentikan tempahan dua bulan lebih awal bagi menyiapkan pesanan sedia ada sebanyak satu tan atau lebih 35,000 biji ketupat palas sempena Aidilfitri tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Emiza dari Pauh di sini berkata, setiap hari, dia yang dibantu suami dan seorang pekerja mampu menyiapkan antara 30 kilogram atau lebih 800 biji ketupat palas yang dihasilkan dalam bentuk sejuk beku itu.
Menggunakan jenama Ketupat Palas Zamamy, Emiza berkata, produk keluarannya mempunyai empat perisa iaitu pulut hitam, jagung, kacang dan lemak yang boleh disimpan lama dengan harga serendah RM20 sehingga RM28 bagi sekilogram yang mempunyai 30 ke 40 biji.
Katanya, bagi pelanggan di Perlis, mereka lazimnya mengambil tempahan dua atau tiga hari sebelum raya manakala ejen ketupat berkenaan dari luar negeri ini pula selalunya ambil lebih awal bagi memenuhi pasaran sekitar Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
“Pesanan ketupat palas pada Aidilfitri tahun ini meningkat mendadak berbanding hari raya sebelum-sebelum ini iaitu sekitar 500 ke 600 kilogram. Berikutan peningkatan tempahan tersebut, kami terpaksa memberhentikan tempahan dua bulan lebih awal.
“Sambutan Aidilfitri yang kembali boleh disambut seperti biasa selepas dua tahun kita berada dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendorong kepada peningkatan mendadak ini. Tahun ini, orang beraya ‘sakan’,” katanya.
Tambahnya, dalam menyiapkan tempahan tersebut, sebanyak 500 kilogram beras pulut serta 5,000 pucuk daun palas digunakan.
Katanya, ketupat daun palas berkenaan adalah resepi turun temurun dari ibu mentua yang turut menjalankan perniagaan ketupat tersebut.
“Sejak hampir lima tahun mengusahakan perniagaan ketupat palas ini, tempahan menjelang Aidilfitri tahun ini adalah paling banyak. Alhamdulilah permintaan ketupat palas ini sangat memberangsangkan sekali gus menambah rezeki kami.
“Apa lebih istimewa lagi jangka hayat ketupat palas berkenaan boleh bertahan sehingga setahun dengan disimpan di dalam peti sejuk beku dalam suhu negatif 18,” katanya. – UTUSAN