BUKIT MERTAJAM: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak berkuasa berkaitan bertindak tegas terhadap mana-mana penternak babi yang tidak mematuhi undang-undang yang telah digariskan kerajaan negeri.
Antara pihak berkuasa itu termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV); Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Presiden SAM, R. Meenakshi berkata, pihaknya menyokong dan menyambut baik ketegasan kerajaan Pulau Pinang terhadap pengusaha ladang babi yang tidak mematuhi Enakmen Penternakan Babi 2016 sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran bau dan sumber air tercemar.
“Pengumuman kerajaan negeri bahawa tindakan tegas akan diambil sangat bertepatan dengan situasi pencemaran yang berlaku dan kami menyokong tindakan tersebut demi kelestarian alam sekitar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan negeri, Dr. Norlela Arifin sebelum ini dipetik sebagai berkata, antara kriteria utama yang perlu dipatuhi oleh pengusaha ladang babi ialah kandang mestilah tertutup dan mempunyai pengurusan sisa kumbahan ladang.
Mengulas lanjut kata Meenakshi, tinjauan SAM sebelum ini juga mendapati terdapat sebilangan operasi di ladang ternakan babi yang tidak mengikut piawaian serta syarat yang telah ditetapkan sekali gus menyebabkan pencemaran.
“Ada dalam kalangan pengusaha ladang babi ini dengan sewenang-wenangnya melepaskan sisa kumbahan yang tidak terawat ke dalam saliran sedia ada sehingga mengeluarkan bau yang sangat tidak menyenangkan.
“Masalah sebegini jelas berlaku di beberapa buah kawasan titik panas (hot spot) antaranya di Kampung Selamat, Gertak Sanggul, Valdor, Simpang Ampat dan Sungai Jawi,” ujarnya.
Difahamkan, bermula Januari tahun ini kerajaan negeri akan menutup operasi dan merobohkan ladang-ladang yang tidak mematuhi syarat-syarat lesen.
Langkah itu dianggap paling berkesan bagi menyelesaikan masalah pencemaran alam sekitar dari ladang babi kerana selain mencemar parit, sungai, laut serta persekitaran kawasan, operasi itu juga menyebabkan gangguan terhadap penduduk dan orang awam. –UTUSAN