KUALA LUMPUR: Bekas sukarelawan Rumah Bonda mengaku merakam kecederaan remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, tahun lalu.
Zurianty Sudin, 39, bagaimanapun menafikan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, dia berniat membocorkan atau menyebarkan rakaman video itu dalam media sosial bertujuan menarik perhatian umum.
Menurut saksi pendakwaan pertama, dia membuat dua laporan polis supaya Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang juga rakan karibnya, ditangkap.
Jelas pembantu pengurus kewangan sebuah syarikat swasta itu, laporan polis pertama dibuat pada 24 Jun 2021 manakala laporan kedua pada 1 Julai 2021.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Siti Bainun yang menghadapi pertuduhan menganiaya, mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan Sindrom Down sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Ketika ditanya oleh peguam Asiah Abd. Jalil yang mewakili Siti Bainun pada sesi pemeriksaan balas, saksi tidak mengetahui bahawa Siti Bainun juga membuat laporan polis pada 6 Julai 2021 lalu.
Zurianty bersetuju, Siti Bainun dalam laporannya menyatakan dia (saksi) telah menyebar fitnah bahawa tertuduh mendera Bella dan anak-anak Rumah Bonda.
Dalam prosiding sama, saksi tidak bersetuju terhadap dua soalan balas peguam yang mencadangkan bahawa dia mewujudkan cerita kes dera dan mengajar penghuni Rumah Bonda membuat laporan polis sebagai ‘Plan B’ supaya Siti Bainun ditangkap.
Zurianty turut menafikan cadangan peguam bahawa dia mempunyai perasaan tidak puas hati dan cemburu terhadap Siti Bainun.
“Saya hanya berkawan baik dengan Siti Bainun sehingga Jun 2021, tiada pergaduhan atau perbalahan dengannya.
“Tiada dendam, dengki atau niat jahat tapi saya tidak mahu terus dibohongi, diperbodohkan dan diberikan alasan tidak munasabah oleh dia (Siti Bainun),” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung Isnin.
Siti Bainun, 30, didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit rumah kondominium di Seksyen 10, Wangsa Maju di sini antara bulan Februari dan Jun 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada 25 November 2021, Siti Bainun turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya remaja sama sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi pada tempat dan tarikh sama. – UTUSAN