KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang tidak tegas dalam isu kajian semula hasil Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Dalam satu kenyataan bersama, PH Sabah memaklumkan, kerajaan negeri sepatutnya berpendirian tegas untuk tidak bersetuju dengan mana-mana kajian semula di bawah Perkara 112D sebelum pengiktirafan terhadap formula 40 peratus dipersetujui dan dihormati oleh Kerajaan Persekutuan.
Menurut kenyataan itu, kerajaan Sabah sepatutnya mengambil pendekatan yang tegas bagi menyelesaikan dan mendapatkan pengiktirafan terhadap kebolehgunaan formula 40 peratus terlebih dahulu sebelum bersetuju dengan sebarang kajian semula.
Walaupun ketegasan itu memerlukan perkara tersebut dibawa dan diputuskan oleh mahkamah terlebih dahulu.
“Kajian semula seperti yang dipersetujui bersama adalah berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan, dengan mengambil kira asas kajian semula yang dibuat telah mengabaikan dan tidak berasaskan kepada formula perkongsian hasil 40 peratus.
“Sedangkan ia termaktub dalam Perkara 112C dan Subseksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan,” jelas kenyataan tersebut.
Itu merupakan kenyataan bersama Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon dan Pengerusi Amanah Sabah, Lahirul Latigu.
Mereka mempertikaikan pengiraan formula kenaikan geran khas 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta kerana ia bukan berdasarkan formula 40 peratus.
Pemimpin PH itu mempersoalkan adakah dengan persetujuan tersebut, kerajaan Sabah telah menetapkan satu kajian semula yang ternyata merugikan Sabah.
Berdasarkan jawapan yang diberikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz di Parlimen baru-baru ini yang menyatakan formula 40 peratus tersebut tidak lagi terpakai, pendirian itu jelas bertentangan dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tafsiran berat sebelah oleh pihak Kerajaan Persekutuan dalam perkara itu akan memberi kesan yang boleh mengancam hak perlembagaan Sabah kerana perkara itu dipersetujui semasa pembentukan Malaysia.
“Sekiranya kebolehgunaan formula 40 peratus itu terus menjadi batu penghalang dalam rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah, maka kita berada di jalan buntu dalam pertikaian perlembagaan mengenai maksud dan tafsiran Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Peranan dan tanggungjawab untuk mentafsir maksud dan niat Perlembagaan Persekutuan apabila wujudnya pertikaian terletak kepada kuasa Mahkamah Persekutuan dan bukannya kepada pentaksir bebas,” katanya. – UTUSAN