KOTA KINABALU: Pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti dilihat akan mencorakkan semula politik di negara ini menjadi politik yang lebih sihat.
Itu pandangan Pengerusi Kelab Backbenchers Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Salleh Tun Said mengenai langkah kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan sebagai usaha untuk menjayakan pembentangan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan itu berkata, pelaksanaan Anti Lompat Parti akan memastikan budaya politik hijrah dapat dihentikan kerana ia bertentangan dengan sistem berparti.
Katanya, politik di negara ini berdasarkan sistem berparti dan bukannya sistem berpresiden iaitu parti yang mempunyai majoriti akan menguasai Parlimen.
“Jadi apabila seseorang bertanding atas tiket parti masing-masing adalah wajar bagi wakil rakyat itu untuk kekal dalam parti tersebut. Pengenalan Anti Lompat Parti ini penting bagi melahirkan politik yang sihat di negara kita,” katanya selepas majlis berbuka puasa Qhazanah Sabah Berhad bersama anak-anak yatim semalam.
Hadir sama ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun mewakili Ketua Menteri serta Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Pengerusi Qhazanah Sabah itu berkata, pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti penting kerana anak-anak muda sudah mula bosan dengan budaya berpindah parti sedangkan semasa diundi, wakil rakyat itu mewakili parti yang mereka yakini akan perjuangkan suara anak muda.
Mengulas lanjut katanya, mungkin ramai yang terlupa bahawa negara ini mengamalkan sistem berparti iaitu parti yang memperoleh majoriti harus dilantik menjadi Perdana Menteri.
Di Sabah pula, terdapat pindaan Perlembagaan Negeri Sabah telah dilakukan, yang membolehkan ketua parti yang memperoleh majoriti harus dijemput (Istana Negeri) bagi membentuk sebuah kerajaan.
“Jadi, saya harus menekalkan soal sistem berparti kerana kadang-kadang kita lupa. Seolah-olah kita mengamalkan sistem berpresiden dan bertindak sesuka hati sedangkan kita terikat kepada sistem berparti,” katanya.
Pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang dijadualkan esok dilakukan bagi memastikan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang dibentang kemudian mudah untuk diluluskan.
Dalam majlis berbuka puasa itu, Qhazanah Sabah turut memberi sumbangan RM10,000 kepada Home Tuaran serta sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim dan Maahad Tahfiz, Home Tuaran.
Kumpulan Qhazanah Sabah turut membayar zakat perniagaan berjumlah RM376,013 kepada kerajaan negeri menerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). –UTUSAN