ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri perlu melihat perkembangan semasa mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di peringkat Parlimen terlebih dahulu sebelum meneruskan usaha melaksanaan enakmen sama di Johor.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah itu perlu dalam memastikan terdapat keselarian antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dalam perkara tersebut.
Menurut beliau, sebarang perkembangan di peringkat Parlimen pasti akan memberi kesan di peringkat negeri Johor khususnya.
“Contohnya, mereka melihat Artikel 10 (Perlembagaan Persekutuan), maka kita juga perlu selari dan tengok adakah perkara itu akan ada kesan kepada kita. Paling utama hubungan Putrajaya dan Johor mesti ada keselarian
“Saya juga baru-baru ini berjumpa dengan (Ahli Parlimen Pengerang) Datuk Seri Azalina Othman Said yang mana saya difahamkan baru-baru ini isu itu mempunyai teknikal yang perlu diperhalusi oleh kerajaan di peringkat Parlimen.
“Jadi kami di Johor pun akan mengorak langkah sama untuk memastikan perkara ini diteliti kerana mahu memastikan tiada lagi pemimpin dipilih oleh rakyat mengkhianat mandat diberikan kepada mereka,” katanya selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.
Tawaran utama
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Barisan Nasional (BN) menyatakan akan memperkenalkan Enakmen Anti Lompat Parti sebagai salah satu tawaran utama dalam ikhtiar BN Johor sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri.
Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad memaklumkan perkara itu salah satu inisiatif yang mahu ditawarkan dalam teras Reformasi Politik bagi memastikan kerajaan Johor kekal stabil selepas ini.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri juga mempunyai cadangan untuk melaksanakan inisiatif ADUN lantikan atau wakil rakyat tanpa pilihan raya dengan memberikan keutamaan kepada pemimpin muda.
“Kita boleh tengok dan melibatkan beberapa pemimpin anak muda di luar sana untuk menjadi ADUN lantikan seperti beberapa negeri lain yang pernah buat, ini kita akan pertimbangkan.
“Namun ini hanya cadangan, kerana saya perlu mendapatkan padangan daripada semua Exco dan ADUN lain sebelum kita buat keputusan, ini adalah wajar kalau kita nak tengok kesinambungan pemimpin negara kita di masa akan datang,” katanya.- UTUSAN