PUTRAJAYA: Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) berkaitan Anti Lompat Parti yang sedang digubal adalah adil untuk semua pihak, sama ada pihak wakil rakyat, parti malah rakyat keseluruhan.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ia adalah adil untuk parti yang mana seorang wakil rakyat bertanding dan menang menggunakan platform tersebut.
Bagi pihak rakyat, kata beliau, ia memberi satu keadilan kepada rakyat untuk mereka membuat keputusan baharu dan pemilihan semula berdasarkan situasi terkini politik.
“Ia adil untuk ahli parlimen membuat pilihan wadah baharu dan berhak dicalonkan semula dalam pilihan raya seterusnya bagi mendapatkan sokongan dan mandat baharu rakyat.
“Ini termasuk erti lompat parti ialah apabila dipecat oleh partinya sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini, Draf pentadbiran Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) berkaitan Anti Lompat Parti yang dicadangkan mempunyai tiga perkara utama iaitu melibatkan ahli parlimen keluar parti, ahli parlimen yang dipecat daripada parti dan ahli parlimen Bebas menyertai mana-mana parti.
Berkuat kuasa
Sekiranya diluluskan, Undang-undang Anti Lompat Parti ini akan berkuat kuasa secara prospektif dan bukan retrospektif, di mana ia mula berkuat kuasa selepas perkenan Yang di-Pertuan Agong diperoleh.
Peruntukan ini mengambil kira beberapa pengecualian sebagai contoh jika sesuatu parti yang disertai oleh seseorang wakil rakyat dibubarkan mereka tidak akan dianggap sebagai melompat parti.
Selain itu, ia hanya akan melibatkan wakil rakyat dan bukan Senator kerana wakil rakyat telah menerima mandat daripada rakyat sebagai wakil bagi kawasan mereka dan mandat tersebut perlu dilaksanakan.
Berdasarkan sesi-sesi libat urus yang dilaksanakan, majoriti ahli parlimen bersetuju dengan Draf Pentadbiran Rang Undang-undang ini.
“Secara ringkasnya, dengan penguatkuasaan undang-undang ini, tindakan lompat parti dapat dicegah dengan pelaksanaan pilihan raya semula untuk memastikan mandat dikembalikan kepada rakyat sekiranya berlaku tindakan melompat parti oleh ahli-ahli Parlimen,” katanya.- UTUSAN