IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan mengadakan perbincangan dengan pihak polis berhubung status pencarian dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu di tapak kuari dekat Keramat Pulai di sini, bulan lalu.
Pengarah JBPM negeri, Azmi Osman berkata, perbincangan bersama pihak polis selaku komander operasi kes itu adalah bagi menilai kewajaran untuk meneruskan atau menutup operasi mencari mangsa.
Katanya, sehingga kini usaha mencari dua lelaki yang juga pekerja kuari itu masih diteruskan meskipun operasi pencarian memakan masa hampir dua bulan.
“Secara dasarnya, pemilik kuari tersebut masih menjalankan kerja-kerja mencari mangsa. Walaupun operasi ketika ini diperlahankan, kita masih menempatkan seorang atau dua anggota di lokasi kejadian pada setiap hari.
“Usaha mencari mangsa mengambil masa terlalu lama disebabkan beberapa faktor termasuk saiz batu yang terlalu besar,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran Bagi Penghapusan Bahaya Kebakaran di sebuah premis hiburan di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, penilaian terhadap pelbagai aspek terutama daripada aspek perundangan bagi mengisytiharkan kehilangan seseorang perlu dijalankan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Mungkin dalam masa terdekat kita akan menghubungi pihak polis untuk mendapatkan jawapan dengan memberikan justifikasi mengapa operasi mencari mangsa perlu ditutup dan kenapa ia perlu diteruskan,” katanya.
Sementara itu mengulas dakwaan sesetengah pihak yang mempertikaikan operasi itu dengan menyifatkan terlalu lama, Azmi menegaskan, usaha mencari mangsa melibatkan kepakaran pelbagai agensi termasuk pakar geofizik dari Universiti Teknologi Petronas (UTP).
“Kepakaran semua pihak ini telah diterjemahkan dalam operasi berkenaan dengan membuat ketetapan di lokasi mana mangsa dijangka berada.
“Namun malangnya, sehingga kini mangsa masih belum ditemui. Bukan setakat mangsa, malah jentera yang turut tertimbus juga gagal dikesan,” katanya.
Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada 8 Mac lalu sekitar pukul 9.15 pagi mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.
Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – UTUSAN