Rohingya: Jika layanan Malaysia buruk, sila kembali ke negara asal

Rohingya: Jika layanan Malaysia buruk, sila kembali ke negara asal

HAMZAH Zainudin (tengah) menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di Dewan Majlis Daerah Selama di Larut hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT:  Malaysia telah memberikan layanan yang baik termasuk menyediakan penginapan, makan dan minum kepada pendatang asing etnik Rohingya di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata,  berikutan itu adalah tidak wajar jika ada pihak yang menyalahkan kerajaan kononnya memberi layanan yang buruk sehingga tahanan Rohingya melarikan diri dari depoh Imigresen di Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Menurut Hamzah, jika etnik tersebut masih menganggap layanan yang telah diberikan oleh kerajaan selama ini buruk, mereka boleh keluar dari negara ini.

“Tindakan Malaysia tidak membebaskan mereka ialah untuk menjadi contoh kepada pelarian yang lain supaya tidak masuk ke negara ini dengan jalan yang salah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di Dewan Majlis Daerah Selama dekat sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd. Akmal Kamarudin.

Hamzah berkata, tindakan dan layanan yang diberikan kerajaan terhadap pelarian selama ini adalah atas rasa simpati dan sifat kemanusiaan terhadap etnik itu.

Menurutnya, mereka ditangkap kerana tidak ada dokumen yang sah dan ditahan dalam tempoh yang lama kerana mahu mereka sedar terhadap hukuman yang dikenakan jika datang ke negara ini tanpa dokumen yang sah.

“Jadi kita letakkan dalam penjara sampai satu tempoh sehingga mereka jemu duduk dalam tahanan.

“Jadi kalau rasa nak bebas, tak perlulah lagi datang ke Malaysia dan kalau mereka rasa mereka tidak dilayan dengan elok, sepatutnya mereka baliklah ke negara mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah meminta orang ramai agar tidak panik dengan kejadian etnik itu yang melarikan diri dari tahanan kerana mereka bukan dalam kalangan pengganas.

“Orang kampung janganlah apabila tengok orang Rohingya seolah-olah mereka itu adalah penjenayah, mereka semua ini adalah pelarian.

“Kalau rasa nampak seperti orang luar, maklumkan secepat mungkin supaya kita dapat tangkap dan masukkan semula ke pusat tahanan semula,” katanya.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mempertikaikan tindakan kerajaan menahan pendatang asing etnik Rohingya  jika tiada perancangan untuk menghantar mereka semula ke negara asal.

Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, hal demikian menyebabkan sebilangan tahanan dikatakan berada dalam depoh Jabatan Imigresen terlalu lama sehingga sebahagian mereka memberontak dengan meloloskan diri.

Sementara itu, seramai 432 tahanan etnik Rohingya daripada 528 tahanan yang melarikan diri sudah ditahan semula. Jumlah itu menjadikan 96 lagi tahanan masih belum ditemukan.

Dalam pada itu, dalam majlis hari ini, seramai 45 penduduk dan 30 peniaga yang terjejas akibat ribut baru-baru ini menerima sumbangan. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya