KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) membelanjakan RM2 juta bagi mencetak buku teks baharu bagi Sekolah Agama Negeri (SAN).
Cetakan buku teks baharu itu bagi menggantikan buku lama yang digunakan lebih daripada 15 tahun lalu.
Menteri Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, pengeluaran buku baharu yang berjumlah 27 judul itu selaras dengan standard kurikulum pembelajaran SAN yang baharu diselaraskan pada tahun ini.
Beliau berkata, pengenalan standard kurikulum bagi sekolah-sekolah agama negeri di bawah kelolaan JHEAINS itu akan membantu memudahkan proses pengajaran di SAN serta sekolah agama rakyat (SAR) dan kelas fardhu ain (Kafa).
Melalui standard kurikulum ini, pengajaran di SAN akan berteraskan kepada al-Quran dan As-sunnah bagi menjalankan tanggungjawab seperti termaktub dalam Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama 1991.
Beliau berkata, buku-buku teks itu telah disemak bersama panel penyemak yang dilantik oleh JHEAINS iaitu dalam kalangan ahli akademik dan pakar dalam bidang keagamaan.
“Ibu bapa tentu bersyukur kerana anak-anak mereka sudah boleh belajar menggunakan buku teks yang disediakan secara percuma. Sebelum ini, ibu bapa terpaksa membuat salinan sendiri tapi sekarang sudah ada pinjaman buku melalui Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) di SAN.
“Saya berharap dengan adanya buku teks dan standard kurikulum ini, ia boleh menjadi panduan kepada guru-guru yang mengajar di SAN,” katanya semasa majlis pelancaran dokumen standard kurikulum pembelajaran SAN dan buku teks baharu, semalam.
Mengulas lanjut katanya, bahagian pendidikan JHEAINS juga telah mengadakan kunjungan dan taklimat mengenai standard kurikulum dan buku teks baharu ini di semua daerah di Sabah dan buku teks itu sudah mula diedarkan pada Mac.
Di Sabah, terdapat 105 SAN yang berada di bawah kendalian JHEAINS. – UTUSAN