KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, sejumlah RM2.28 bilion dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalurkan kepada dua akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail berkata, empat transaksi pengaliran wang itu dilakukan bermula 2011 hingga 2014 melibatkan jumlah berlainan.
Saksi pendakwaan ke-13 itu menyatakan demikian ketika mengubah pendirian berhubung keterangan awalnya bahawa bekas Perdana Menteri tidak mendapat faedah daripada dana 1MDB.
Pada prosiding pemeriksaan semula hari ini, Ismee diminta oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram merujuk empat carta aliran wang 1MDB yang menunjukkan bahawa jejak kewangan dana itu berakhir dalam dua akaun peribadi Najib.
Sri Ram: Pihak pembelaan sebelum ini mencadangkan Najib tidak mendapat faedah daripada dana 1MDB dan kamu bersetuju. Adakah kamu mahu mengubah jawapan sebelum ini?
Ismee: Carta aliran wang ini tidak ditunjukkan kepada saya ketika sesi soal balas. Ya, berdasarkan carta ini sejumlah dana masuk ke dalam akaun Najib.
Sri Ram: Semuanya adalah dana 1MDB. Adakah kamu mahu mengubah jawapan terdahulu bahawa Najib tidak mendapat faedah daripada transaksi 1MDB?
Ismee: Ya, saya lihat bahawa sejumlah wang milik 1MDB masuk dalam akaun beliau.
Ismee memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri.
Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Cara aliran akaun Najib antara lain menunjukkan sejumlah AS$700 juta dana 1MDB dipindahkan kepada Good Star Limited yang dikawal oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Ismee turut dirujuk kepada transaksi RM60.6 juta ke dalam akaun bank AmIslamic bekas Perdana Menteri manakala RM90.8 juta daripada 1MDB Energy Ltd disalurkan ke Aabar Investments PJS Ltd.
Terdahulu, saksi berkata, berdasarkan pemerhatiannya ketika menganggotai Lembaga Pengarah 1MDB di antara 2009 dan 2016, Najib mempunyai hubungan yang rapat dengan Jho Low.
Sri Ram kemudian mengemukakan sekeping gambar yang dirakam di atas sebuah kapal bagi menunjukkan keakraban kedua-duanya.
Gambar itu menunjukkan Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta dua anak mereka, Nor Ashman and Nooryana Najwa bergambar bersama-sama Jho Low, Putera Turki Abdullah dan Pengarah Petrosaudi International Ltd (PSI), Tarek Obaid.
Bagaimanapun Ismee berkata, beliau tidak mempunyai pengetahuan bagaimana Najib dan Jho Low berkongsi dana 1MDB.
Menjawab soalan Sri Ram, Ismee berkata, pada awal pelantikannya dalam 1MDB pada 2009, beliau mempunyai tahap keyakinan yang tinggi terhadap inisiatif Najib selaku Perdana Menteri (ketika itu) mengadakan usaha sama dengan Arab Saudi.
Menurut Ismee, pengalamannya dengan Tabung Haji sebelum berpindah ke 1MDB menyebabkan beliau beranggapan projek usaha sama dengan negara tersebut akan memberikan faedah yang besar.
Sementara itu, Ismee turut dirujuk dengan Minit Mesyuarat 1MDB bertarikh 26 September 2009 yang mana Lembaga Pengarah memberikan beberapa ketetapan terhadap usaha sama di antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd (PSI) yang tidak dipatuhi oleh pihak pengurusan.
Perkara itu dibangkitkan lagi pada mesyuarat pada 3 Oktober, Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh meletak jawatan tidak lama kemudian iaitu pada 19 Oktober 2009.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 18 April ini. – UTUSAN