RM1.6 bilion tingkat kemudahan internet di Kedah

RM1.6 bilion tingkat kemudahan internet di Kedah

ANNUAR Musa menyampaikan sumbangan kepada pelajar tahfiz pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia di Alor Setar, semalam. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyediakan peruntukan sebanyak RM1.6 bilion bagi meningkatkan kemudahan  internet di Kedah meliputi pelbagai skop di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang dilaksanakan hingga 2025.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, peruntukan tersebut antaranya membabitkan pembinaan sejumlah menara baharu di bawah fasa satu Jendela yang dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Menerusi program Jendela fasa satu, katanya, sebanyak 40 peratus menara yang dirancang untuk didirikan telah siap dan pihaknya kini memberi tumpuan terhadap usaha menyiapkan baki 60 peratus menara lagi.

“Perkembangannya setakat ini baik dengan kita mengharapkan bakinya akan dapat disiapkan sebelum akhir tahun ini kerana pada awal 2023, kita sudah mahu sambung ke program Jendela fasa dua.

“Selain itu, sejumlah menara atau pemancar turut perlu dinaik taraf untuk membolehkan kita ‘berpindah’ dari 3G ke 4G. Tentang itu pun setakat ini kita puas hati perkembangannya dengan sebahagian besar prosesnya berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia di sini, semalam.

Mengulas lanjut katanya, tumpuan kementerian dalam masa sama turut diberikan kepada jumlah rumah atau premis yang dapat menerima perkhidmatan gentian optik.

“Sesuatu yang lebih besar lagi, di Kedah ada banyak kawasan dan  sekolah luar bandar yang tidak mempunyai rangkaian gentian optik. Peringkat awal dulu pernah kerajaan cuba bekalkan internet ke sekolah menggunakan konsep tanpa wayar namun projek itu tergendala dan terhenti.

“Kini kita fikir sekolah perlu disampaikan dengan jaringan gentian optik titik kehadiran (PoP). Di Kedah saja, lebih 300 sekolah dikenal pasti untuk mendapatkan kemudahan itu dengan kita telah mengeluarkan tender dan sekarang penilaian sedang dibuat terhadapnya,” katanya.

Tambahnya, komponen lain yang turut perlu dibangunkan berkaitan pengukuhan internet di negeri ini termasuk melengkapkan  Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dengan kemudahan diperlukan.

“Itu antara skop yang merangkumi peruntukan berjumlah RM1.6 bilion tersebut. Begitu pun apabila semua perkara yang dirancang itu telah siap, tidak bermakna segala pembangunannya telah lengkap 100 peratus.

“Kita akan terus melihat kepada teknologi terkini. Setakat ini ada satu atau dua teknologi terbaharu yang kita sedang buat penilaian khususnya untuk kawasan terlalu terpencil,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya