JOHOR BAHRU: Memulakan perniagaan dengan matlamat menukung fardu Kifayah, dua anak muda mengorak langkah memulakan perniagaan membekal ayam segar di negara ini.
Bermula pada tahun lalu Red Grocer (RG) yang diusahakan oleh tiga sahabat memberikan jaminan mereka menawarkan ayam yang dijamin segar, bersih dan halal untuk semua masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif RG Farhan Umar berkata, mereka sedar tanggungjawab untuk memastikan bekalan ayam diproses dengan mengikut piawaian dan syariat yang ditetapkan agar ia selamat untuk pembeli.
“Bagi kami selain mencari keuntungan, kami memberi jaminan ayam keluaran syarikat kami selamat dan halal untuk pengguna.
“Kami juga mahu menawarkan pelan harga yang berpatutan dalam masa sama memastikan bekalan sentiasa ada dari bekalan tempatan untuk pasaran tempatan,” katanya pada majlis perasmian kilang RG di Taman Daya di sini.
Sehingga kini, RG mempunyai tiga kilang utama di Kelantan, Kajang dan Johor Bahru dengan kapasiti pengeluaran 250,000 ekor ayam sehari.
Syarikat milik penuh bumiputra ini turut menawarkan bekalan ayam seekor, isi dada, chicken chop, anggota ayam dan juga ayam cincang.
RG turut mengintai peluang untuk meneroka pasaran Singapura memandangkan pintu masuk negara sudah dibuka kepada Kota Singa itu.
Turut membuka peluang perniagaan kepada yang berminat, Farhan berkata terdapat 30 ejen syarikat itu di seluruh negara ketika ini.
Mengenai pemilihan Ali Puteh Sebagai Duta RG, dia berkata pelawak itu mampu memberikan komitmen dan bersama-sama memperkenalkan syarikat itu kepada orang ramai.
Ali juga menunjukkan minat untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan serta komited dan bersungguh-sungguh me pelajari selok belok memproses ayam.
“Bagi saya Ali ada karakter lain berbanding pelawak sedia ada. Malah saya difahamkan dia juga memang pernah berniaga bersama arwah abangnya, Abam.
“Kita mahu membentuk Ali menjadi usahawan berjaya dan membimbing dia sehingga mampu menjadi seorang dari pemegang saham syarikat ini,” katanya.