PORT DICKSON: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Datuk M. Ravi mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Port Dickson yang disandangnya dalam pemilihan PKR kali ini.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan itu berkata, sebagai ahli cabang itu sejak 1999, beliau juga bersedia berdepan mana-mana calon lain untuk jawatan tersebut termasuk kemungkinan ditandingi Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Ya, saya akan lawan dan mempertahankan jawatan Ketua Cabang Port Dickson. Sama ada beliau (Aminuddin) akan bertanding atau tidak, itu haknya, tetapi pendirian saya, saya akan pertahankan jawatan saya sebagai ketua cabang.
“Lawan tetap lawan, saya tidak akan berkompromi. Saya bukan pergi tempat lain untuk bertanding, saya dari 1999 sehingga kini kekal di cabang Telok Kemang dan sekarang cabang Port Dickson, saya tidak lompat sana, lompat sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hari ini, media melaporkan pencalonan bagi Pemilihan PKR 2022 bermula hari ini sehingga Ahad melibatkan jawatan peringkat cabang di seluruh negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr. Zaliha Mustafa berkata, pencalonan akan dilaksanakan secara dalam talian dan serentak dengan itu kempen pemilihan secara rasmi bermula.
Sementara itu, pengesahan oleh Ravi tersebut bakal menyaksikan kemungkinan berlakunya pertembungan di Port Dickson yang melibatkan dua orang kepemimpinan tertinggi PKR Negeri Sembilan.
Aminuddin kini merupakan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan manakala Ravi pula ialah timbalannya.
Aminuddin yang berasal dari Kampung Pachitan di sini sebelum ini mengesahkan telah berpindah keahliannya dalam parti ke cabang Port Dickson sejak akhir Januari lalu. Beliau sebelum ini merupakan Ketua Cabang PKR Tampin sejak 2018.
Bagaimanapun sehingga ke hari ini, tiada jawapan rasmi daripada pihak Aminuddin meskipun spekulasi bertiup kencang bahawa beliau akan mencabar Ravi dalam pemilihan PKR kali ini.
Ravi antara nama yang dikaitkan dalam penyebaran satu kenyataan pada September tahun lalu yang mencadangkan supaya jawatan Pengerusi MPN PKR Negeri Sembilan yang dipikul oleh Aminuddin digantikan dengan individu lain. – UTUSAN