SEPANG: Gejala rasuah dan kelemahan dari sudut integriti wujud dalam pelbagai aspek melibatkan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat Orang Asli.
Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof. Madya Dr. Izawati Wook berkata, ini menyebabkan ketirisan wang kerajaan sekali gus kerugian kepada wang awam.
Katanya, ia menyebabkan objektif pembangunan masyarakat itu tidak tercapai dengan taraf sosioekonomi masyarakat tersebut masih rendah berbanding jumlah peruntukan oleh kerajaan saban tahun.
“Ramai informan melihat hubung kait isu integriti dan rasuah dengan keadaan penempatan masyarakat Orang Asli yang jauh ketinggalan berbanding penempatan masyarakat lain.
“Situasi kampung mereka masih rendah tahap kemudahan asas dan kemajuan ekonomi berbanding jumlah wang yang diperuntukkan setiap tahun oleh kerajaan kepada Orang Asli,” katanya pada Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan yang berlangsung selama dua hari pada 23 dan 24 Mac lalu.
Beliau membentangkan kajian bertajuk Pengurusan Governans dan Risiko Rasuah Dalam Institusi Pentadbiran Dalam Kalangan Kumpulan Etnik Orang Asli dengan pasukan penyelidik lain dari Usim iaitu Prof Datuk Dr. Zulkiple Abd. Ghani, Prof Datuk Dr. Hasnah Haron, Dr. Abd Hakim Mohad, Prof. Madya Dr. Arif Fahmi Md. Yusof dan Rosli Shaari.
Izawati berkata, antara faktor risiko orang asal lebih terdedah kepada perlakuan rasuah ialah jumlah komuniti yang kecil, tahap pendidikan rendah dan kemiskinan.
Katanya, selain itu, status tanah tidak diiktiraf serta dianggap tidak diduduki, lokasi pinggir dan luar bandar yang kaya dengan sumber asli, pertentangan corak guna tanah, polisi affirmative action berkait dengan kuasa awam bagi faedah persendirian dan organisasi politik dalam komuniti bersifat bersaudara.
Beliau berkata, berdasarkan kajian tersebut, penyelidik menyenaraikan lima aspek risiko rasuah dalam penyampaian perkhidmatan kepada golongan itu.
Ujarnya, ia meliputi perolehan perbekalan dan perkhidmatan, pemberian bantuan dan manfaat, pelaksanaan projek pembangunan Orang Asli, pelaksanaan projek pembangunan lain bagi manfaat umum yang memberi kesan kepada tanah atau kawasan mereka serta aktiviti pengekstrakan sumber asli di atau berdekatan kawasan Orang Asli. – UTUSAN