Rais seru parti politik teras Melayu bersatu - Utusan Malaysia

Rais seru parti politik teras Melayu bersatu

Lukisan haiwan
RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim menyeru kepada semua pihak terutamanya parti politik yang berteras Melayu supaya bersatu bagi mengatasi pelbagai masalah sosial yang melanda negara ini.

Beliau berkata, perkara kebejatan sosial yang berlaku itu harus sama-sama difikirkan dan perlu tindakan segera terutama dalam kalangan pemimpin masyarakat dan pemimpin politik.

Sehubungan itu kata beliau, 10 parti politik yang berteraskan Melayu di negara ini perlu bersatu dan menumpukan usaha memulihkan kembali sistem masyarakat di negara ini disulami dengan panduan agama serta adat.

“Dalam tempoh sembilan bulan antara tahun lepas dengan tahun ini, sebanyak 66,481 kes perceraian berlaku di negara ini. Negeri yang mencatatkan rekod tertinggi ialah Kelantan dan Selangor. Jika dibandingkan dengan kes perceraian dalam kalangan pasangan bukan Islam ialah 10,614 kes.

“Apa sudah jadi kepada nilai kita? Apa sudah jadi sistem kekeluargaan kita? Apa sudah jadi kepada bimbingan adat, agama dan naluri masyarakat kita? 

“Sebanyak 78 peratus daripada jumlah keseluruhan penagih dadah adalah dalam kalangan orang Melayu. Begitu juga dengan budaya ‘mat rempit’ dalam kalangan masyarakat semakin berleluasa ketika ini.

“Peningkatan kes-kes ini jelas menunjukkan agar kita jangan bergaduh lagi. Bersatulah kita dalam muafakat untuk memperbaiki masyarakat,” katanya ketika berucap semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Masyarakat di Kampung Kuala Dulang dekat sini semalam.

Hadir sama, Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Datuk Delapan Lembaga Adat; tiga Pembesar Adat Jelebu dan pemimpin masjid serta surau.

Rais yang juga Pengerusi Yayasan Budi turut menyampaikan sumbangan kepada masjid dan surau untuk digunakan selepas solat tarawih sepanjang Ramadan.

Dalam pada itu, Rais turut menyeru agar Kerajaan Negeri Sembilan menghidupkan kembali adat Melayu di negeri tersebut dan bukan sekadar tinggal nama ‘Negeri Sembilan Nogori Beradat’.

“Usaha perlu dibangunkan semula untuk mengembalikan kegemerlapan dan amalan nilai-nilai adat perpatih di sembilan luak dan suku Biduanda di Negeri Sembilan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya