Putra Melaka lumpuh, empat ketua bahagian keluar parti - Utusan Malaysia

Putra Melaka lumpuh, empat ketua bahagian keluar parti

MOHD. ALUWI Sari (dua dari kiri) menunjukkan surat pembubaran Badan Perhubungan Putra Melaka dalam sidang akhbar di Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Mendakwa Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang ditubuhkan pada 2019 bagai hilang arah tujuan, empat ketua bahagian parti itu di negeri ini bersama 500 ahli mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Bekas Ketua Putra Bahagian Hang Tuah Jaya, Prof. Dr. Mohd. Aluwi Sari berkata, keputusan yang diambil susulan daripada keputusan Mesyuarat Dewan Tertinggi (DT) pada 1 April mengumumkan pembubaran Badan Perhubungan Putra Melaka.

Menurutnya, tiga lagi ketua bahagian yang mengumumkan keluar parti selain Hang Tuah Jaya adalah Jasin, Kota Melaka dan Masjid Tanah, manakala Alor Gajah serta Tangga Batu terus kekal bersama parti.

Beliau berkata, surat bertarikh 5 April 2022 ditandatangani Setiausaha Agung Putra, Borhan Ahmad Zakaria telah memaklumkan mengenai pembubaran tersebut.

“Ini bermakna tiada lagi Jawatankuasa Perhubungan Negeri dan semua urusan parti di peringkat negeri, sayap dan cawangan diuruskan kepada Setiausaha Agung.

“Jawatan Pengerusi yang saya pegang telah ditarik balik, namun mengekalkan jawatan saya selaku Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya.

“Bagaimanapun, saya bersama tiga Ketua Bahagian yang lain bersepakat untuk keluar terus daripada Putra bersama 500 ahli lain kerana sudah hilang kepercayaan terhadap Presiden, Datuk Dr. Ibrahim Ali,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Seri Malaysia, Ayer Keroh di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Putra telah membuat penampilan sulung dengan bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun tewas semuanya.

Mohd. Aluwi merupakan calon parti itu di kerusi Pengkalan Batu dan telah hilang deposit kerana sekadar memperoleh 82 undi.

Mengulas lanjut, beliau menambah, alasan yang diberikan oleh DT berkenaan pembubaran Badan Perhubungan Putra Melaka tidak dapat diterima olehnya.

“Alasan yang diberikan iaitu minit Mesyuarat Agung Tahunan bahagian-bahagian tidak dihantar mengikut tempoh masa yang ditetapkan dan mengakibatkan ada beberapa bahagian yang telah wujud sudah terbatal,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya