PETALING JAYA: Lebih 1,500 institusi tahfiz dan pengajian pondok di negara ini masih dicengkam masalah kewangan sehingga menyukarkan pengurusan dan operasi institusi-institusi berkenaan.
Ini berikutan sumbangan atau dana daripada masyarakat, pihak berwajib, korporat serta individu tidak lagi dapat diberikan sebagaimana yang mereka lakukan sebelum pandemik.
Bebanan itu ditambah lagi melalui sebilangan ibu bapa yang tidak mampu membayar yuran pengajian, namun tetap meneruskan pengajian anak-anak mereka di institusi berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta), Mohd. Zahid Mahmood berkata, keseluruhan institusi tahfiz dan pengajian pondok amat terkesan dengan keadaan tersebut sama ada dalam skala yang besar ataupun kecil.
“Walaupun keadaan sekarang sudah beransur pulih yang mana peralihan endemik berlaku, kesannya kepada institusi tahfiz masih lagi ada,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau yang juga Pengetua Darul Quran Ittifaqiyah Keramat dekat sini berkata, perjalanan melestarikan institusi-institusi tahfiz ini bukan mudah berikutan cabaran yang dihadapi seperti sebahagian ibu bapa yang tidak mampu membayar yuran akibat masalah kewangan.
“Maka, institusi ini perlu ada kerjasama dan kekuatan kekal daripada mudir, pengurusan institusi mahupun institusi itu sendiri untuk beroperasi seperti biasa,” jelasnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai jumlah pelajar-pelajar baharu, Mohd. Zahid berkata, pengambilan pelajar pada tahun ini meningkat lebih banyak.
“Dengan kemasukan pelajar yang meningkat, ia berkemungkinan mampu membantu mengatasi masalah kewangan yang dihadapi institusi tahfiz,” jelasnya.
Mengulas lanjut isu kegiatan salah laku yang berlaku dalam institusi-institusi tahfiz, Mohd. Zahid tidak menafikan perbuatan itu sememangnya berlaku yang mana ia mencalarkan imej agama Islam.
Begitupun, perbuatan tersebut bukan sahaja berlaku di peringkat institusi tahfiz, malah di setiap institusi pengajian.
“Jika dilihat dalam statistik dan kajian-kajian yang kami jalankan, cuma 0.3 peratus sahaja kes berlaku di institusi tahfiz. Bukan sahaja dari segi seksual, tetapi jenayah yang mana sehingga menyebabkan kematian.
“Perbuatan sebegini tidak dinafikan berlaku kerana ia melibatkan manusia dan kadangkala, ia berlaku tanpa disedari,” jelasnya.
Justeru, pengawasan dan penelitian secara mendalam perlu dilakukan institusi-institusi terbabit dalam menangani isu itu khususnya kepada kanak-kanak yang terlibat dalam kegiatan salah laku. – UTUSAN