BUKIT MERTAJAM: Kerajaan negeri kini sudah bersedia menerima lebih ramai pelancong asing khususnya mereka yang beragama Islam dari negara-negara Asia Barat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, ketika ini segala kemudahan serta fasiliti berkaitan telah lengkap tersedia termasuk dari segi penginapan, makanan, tempat beribadah dan sebagainya.
Pada masa sama katanya, kerajaan negeri juga telah mengambil inisiatif dengan melancar dan memperkenalkan buku kecil atau ‘booklet’ bertajuk Panduan Pelancongan Muslim serta risalah ‘Jalan-Jalan Pulau Pinang’ untuk tujuan yang sama.
“Objektif pelancaran bahan-bahan sebegini adalah untuk memudahkan percutian pelancong beragama Islam ke Pulau Pinang kerana akan berfungsi sebagai kamus pelancongan mini sepanjang mereka berada di sini,” katanya.
Beliau ditemui semasa majlis pelancaran kedua-dua bahan itu yang turut dihadiri oleh Pengarah Pejabat Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Pulau Pinang, Jonathan Freddy P. Bagang di Seberang Jaya, baru-baru ini.
Menurut Soon Hin, bagi memantapkan lagi persediaan tersebut, pihaknya turut menyediakan panduan pelancongan dalam versi Bahasa Arab bermula dengan program Arabian Travel Market yang akan berlangsung di Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE) bulan depan.
Katanya, laman sesawang Penang Global Tourism juga boleh didapati dalam Bahasa Arab agar pelancong dari Asia Barat dapat memahami Pulau Pinang dengan lebih mendalam.
“Usaha-usaha sebegini adalah demi memenuhi permintaan pasaran Asia Barat sekali gus menarik minat mereka untuk melancong ke Pulau Pinang.
“Dengan kepelbagaian produk pelancongan dan usaha yang kami lancarkan, saya yakin kerajaan negeri berupaya menambah nilai dan menjenamakan negeri ini sebagai destinasi yang mesra pelancong Muslim,” ujarnya.
Tambah Soon Hin, selain mengemas kini platform media sosial dengan kandungan yang lebih mesra dengan golongan itu, pihaknya turut bekerjasama dengan beberapa pengendali platform media sosial lain seperti Penang Foodie, Penang Hidden Gem dan Tripzilla untuk menjana kandungan baharu bagi tujuan yang sama.- UTUSAN