KUALA TERENGGANU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu mencadangkan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dicalonkan sebagai Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Datuk Razali Idris berkata, bekas Perdana Menteri itu merupakan calon tepat dan berwibawa untuk menerajui negara buat kali kedua.
Katanya, berdasarkan rekod perkhidmatan sebelum ini, Muhyiddin tidak ditolak rakyat, sebaliknya peletakan jawatan 16 Ogos lalu adalah disebabkan hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
“Beliau hanya ditolak oleh 15 Ahli Parlimen, jadi saya rasa tidak salah untuk saya mencalonkan Presiden kita sebagai Perdana Menteri.
“Malah, sepanjang perkhidmatannya, beliau tidak pernah melakukan perkara yang bercanggah dengan prinsip integriti, rasuah atau salah guna kuasa,” katanya kepada pemberita dalam majlis moreh bersama media di sini malam tadi.
Awal bulan ini, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan Muhyiddin meminta sokongannya untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.
Kelmarin, Majlis Tertinggi UMNO sebulat suara menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi PRU-15. – UTUSAN