loji siap 2024

Projek LRA Pelubang dijamin siap ikut jadual

CHE Had Dhali mengambil makanan untuk berbuka puasa dalam Majlis Iftar Bersama Media Kedah di Alor Setar semalam. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bina Darulaman Bhd. (BDB), memberi jaminan projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang di Kubang Pasu yang berharga RM431 juta akan disiapkan mengikut jadual ditetapkan pada 2024.

Pengerusi BDB, Sr. Che Had Dhali berkata, pihaknya melaksanakan pelan kontingensi termasuk bekerjasama dengan syarikat berkemahiran untuk mempercepatkan usaha pembinaan projek mega rawatan air tersebut.

Menurutnya, BDB yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri melalui Synergy BDB Sdn. Bhd. ditawarkan projek tersebut secara rundingan terus pada tahun lepas.

“Projek LRA Pelubang sekarang ini dalam keadaan sudah mula berjalan kira-kira dua peratus melibatkan melibatkan kerja-kerja tapak.

“Walau bagaimanapun jika kita lihat, projek masih berjalan mengikut jadual asal dari segi apa yang kita rancang itu sasaran siap pada 2024 akan dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Iftar Bersama Media Kedah di sini semalam.

LRA Pelubang adalah salah satu loji daripada lima LRA di Kedah yang dinaik taraf termasuk LRA Jenun Baru, Sungai Limau, Bukit Selambau dan Lubuk Buntar.

Masalah gangguan bekalan air di negeri ini dijangka dapat diatasi sepenuhnya apabila lima loji tersebut siap dibina kira-kira dua tahun lagi.

Che Had memberitahu, pada masa ini, LRA Pelubang itu dapat menampung  kapasiti air sebanyak 247 juta liter air sehari (MLD) dan dijangka meningkat kepada 457 juta MLD apabila siap projek naik taraf ini.

Mengulas lanjut kata Che Had, pihaknya memikul tanggungjawab untuk melaksanakan projek berkepentingan rakyat itu dengan sebaik mungkin di sebalik pelbagai kekangan termasuk kenaikan harga bahan binaan ketika ini.

“Untuk gerakkan projek naik taraf LRA ini kita kerjasama dengan beberapa syarikat lain termasuk Asia Baru,” katanya.

Menyentuh tentang kenaikan harga bahan binaan di pasaran ketika ini, kata beliau, pihaknya sedia menilai semula kos terlibat yang disifatkan tidak dapat dielakkan.

“Kenaikan itu beri kesan yang agak tinggi sehingga 30 peratus. Sebenarnya cadangan penilaian semula ini daripada konsultan kita yang akan diusulkan kepada JKR dan kerajaan negeri untuk diterima pakai,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN