JOHOR BAHRU: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu tidak boleh dijadikan jaminan untuk gabungan itu merekod kejayaan serupa dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Pengerusi BN Johor yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, perkara itu perlu diakui kerana terdapat pelbagai faktor yang membezakan kedua-dua pilihan raya berkenaan.
“Kejayaan PRN Johor tidak menjamin kejayaan pada PRU-15 nanti, sebagai contoh kenaikan kos harga barang yang terus meningkat ketika ini sama ada ia dapat dikawal atau diturunkan menjelang akhir tahun.
“Selain itu, pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), ketika ini memang dilihat sebagai ‘feel good factor‘ tetapi empat atau lima bulan akan datang kita tidak pasti. Jadi itu antara cabaran yang perlu dihadapi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di sini, semalam.
Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.
Hasni berkata, UMNO akan menekankan persiapan bagi menghadapi PRU-15 dengan memastikan Ikhtiar BN pada PRN Johor dipantau dan ditetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) termasuk Belanjawan Johor 2022.
“Dengan adanya KPI dan pemantauan khusus, kita yakin akan dapat lebih bersedia menghadapi cabaran PRU-15 yang dijangka tidak lama lagi. Kita juga akan menjalankan tinjauan di setiap bahagian khususnya berhubung penambahan jumlah pengundi ekoran pelaksanaan Undi18 melibatkan beberapa bahagian antaranya Johor Bahru, Tebrau, Pulai, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang,” jelasnya.
Pada PRN Johor lalu, Hasni berjaya memimpin kemenangan BN sehingga memperoleh 40 daripada keseluruhan 56 kerusi yang dipertandingkan, sekali gus menyaksikan mereka berjaya menubuh kerajaan negeri.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Hasni berkata, satu jawatankuasa penyelaras hubungan kerajaan negeri dan UMNO akan ditubuhkan bagi memastikan kerjasama lebih strategik antara kedua-dua pihak terlibat dapat dicapai demi kesejahteraan rakyat negeri ini.
Menurut beliau, UMNO sentiasa menyokong kepimpinan kerajaan negeri dan ini dibuat melalui cadangan dan syor yang dikemukakan, termasuk kritikan dan teguran yang dikemukakan.
“Menteri Besar telah menyatakan komitmen dan kesediaan untuk menimbang dan ambil inisiatif memastikan hubungan kerjasama yang lebih strategik antara parti dan kerajaan dapat dicapai. Bagi memastikan perkara itu, satu jawatankuasa penyelaras hubungan kerajaan dan parti akan ditubuhkan dengan dianggotai empat wakil UMNO Johor dan empat ahli kerajaan negeri, mungkin dalam kalangan Exco atau sesiapa yang disyorkan Menteri Besar,” jelasnya. – UTUSAN