LUMUT: Polis mengenal pasti empat lokasi ‘panas’ sering berlaku kemalangan jalan raya di daerah Manjung khususnya ketika musim perayaan yang menyaksikan pertambahan bilangan kenderaan di laluan tersebut.
Empat lokasi itu ialah Kilometer (KM) 6 hingga KM 19 Jalan Seri Manjung-Teluk Intan; KM3 hingga KM 30 Jalan Seri Manjung-Pantai Remis; KM2 hingga KM 19 Jalan Beruas-Ayer Tawar dan KM 3 hingga KM 19 Jalan Lumut-Ipoh.
Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Boo Khim berkata, justeru polis akan meningkatkan pengawasan di laluan tersebut sebagai usaha mengurangkan kemalangan di laluan tersebut.
“Polis melakukan pemantauan 24 jam dan mengatur gerak pasukan dan anggota secara holistik dan sistematik sepanjang Operasi Selamat 18 tahun ini yang bermula semalam hingga 18 Mei ini,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Operasi Selamat 18 Aidilfitri 2022 Daerah Manjung di Plaza Tol Sitiawan Utara Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Bhd., Lyondon Alfred Felix.
Menurut Boo Khim, pada hari pertama operasi itu semalam, sebanyak 14 kemalangan dilaporkan manakala 70 saman dikeluarkan dengan kesalahan terbanyak memandu melebihi had laju sebanyak 50 saman diikuti pelanggaran isyarat lampu merah (11 saman) dan sembilan saman untuk pelbagai kesalahan lain.
Beliau memaklumkan, sebanyak 13 motosikal diperiksa dengan sembilan saman dikeluarkan melibatkan tiada lesen memandu (empat saman), dua saman tidak memakai topi keledar dan tiga lain-lain kesalahan.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bukan untuk mengelakkan saman semata-mata tetapi lebih utama memastikan keselamatan mereka dan pengguna jalan raya lain. – UTUSAN