PM lancar Lembah Automotif Berteknologi Tinggi Tanjung Malim - Utusan Malaysia

PM lancar Lembah Automotif Berteknologi Tinggi Tanjung Malim

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) melakukan gimik pelancaran AHTV di Proton City, Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi atau AHTV di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, kewujudan AHTV DRB-Hicom Berhad boleh menjadikan negara sebagai hab pengeluar kenderaan elektrik dan pembekal komponen ke pasaran ASEAN bahkan ke pasaran yang lebih luas lagi.

Beliau berkata, pembangunan AHTV juga dapat menarik minat pelabur asing khususnya dari China dan negara lain kerana berpotensi memperkasakan ekosistem dunia automotif dalam satu kawasan yang besar.

Menurut beliau, jika di negara lain seperti Amerika Syarikat (AS) boleh bangga dengan Detroit, sebuah daerah yang terkenal dengan industri pembuatan keretanya tidak mustahil satu hari nanti Tanjung Malim akan dikenali sebagai hab permotoran yang hebat di rantau ini.

“Selain itu, Tanjung Malim bakal menyaksikan limpahan ekonomi daripada aktiviti projek pembangunan AHTV yang dijangka menjana peluang pekerjaan sebanyak 370,000 sepanjang pembinaan dan 160,000 apabila beroperasi kelak.

“Pembangunan lain yang mempunyai rantaian ekonominya seperti taman perindustrian dan pembangunan hartanah bagi tujuan komersial secara keseluruhannya berpotensi menjana sebanyak RM32 bilion menjelang 2030.

“AHTV juga disasarkan menjadi pusat rujukan Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) bagi teknologi berasaskan pematuhan iklim global dengan penubuhan universiti penyelidikan yang signifikan dengan industri ini.

“Secara tidak langsung pembangunan AHTV dapat memberi tumpuan kepada kemajuan kenderaan elektrik yang menjadi hala tuju masa depan industri automotif dengan memanfaatkan Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi mutakhir,” katanya.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Pengerusi DRB-Hicom, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Perdana Menteri berkata, usaha membangunkan AHTV sebagai hab baharu pengeluaran kenderaan elektrik selari dengan hasrat dan komitmen kerajaan ke arah pencapaian matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) selain menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang 2050.

Beliau berkata, kerajaan berharap projek pembangunan ini akan dapat memacukan pembangunan industri hiliran dan lain-lain sektor yang menumpukan teknologi terkini terutamanya dalam penggunaan dan pengurusan sumber yang cekap sekaligus mengurangkan kesan rumah hijau.

“Dengan hala tuju yang dibuat secara teliti, AHTV akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk tempatan, malah kepada negara Malaysia amnya.

“Diharapkan agar pelancaran AHTV ini menjadi penanda aras kepada satu lagi pembangunan negara yang berimpak tinggi dan memacu kejayaan negara secara holistik.

“Saya yakin dan percaya dengan kemampuan DRB-HICOM dibantu penyelarasan bersama agensi kerajaan yang berkaitan serta dana yang disalurkan, ia mampu menjadi projek mega kawasan perindustrian automotif yang gah di rantau ini,” katanya.

Ismail Sabri juga mencadangkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga terletak dalam wilayah berteknologi tinggi di sini membangunkan pusat latihan dan penyelidikan automotif.

Beliau berkata, ini bagi memenuhi keperluan dari segi tenaga kerja terlatih, pendidikan dan juga penyelidikan.

“Dilengkapi dengan bilik kuliah, kemudahan penginapan dan makmal berteknologi tinggi, pusat latihan dan penyelidikan automotif di UPSI akan memberikan tumpuan kepada penyelidikan, latihan kemahiran, pembangunan sumber manusia, serta penyelenggaraan yang berkaitan dengan teknologi automotif terkini.

“Ini bagi memastikan permintaan dan bekalan dari segi teknologi terkini, latihan serta sumber tenaga manusia di AHTV ini dapat dilestarikan secara produktif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya