PLUS `berbelanja besar' Aidilfitri tahun ini - Utusan Malaysia

PLUS `berbelanja besar’ Aidilfitri tahun ini

Datuk Zakaria Ahmad Zabidi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) sanggup berbelanja besar bagi memastikan kelancaran trafik dan memastikan keselesaan pengguna susulan jangkaan peningkatan kenderaan menjelang Hari Raya Aidilfitri minggu depan.

Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pertambahan kenderaan dijangka berlaku setelah rakyat sudah dua tahun tidak dibenarkan beraya di kampung akibat Covid-19 selain pengumuman pemberian tol percuma.

Menurut beliau, bagi memastikan keselesaan rakyat, PLUS sanggup berbelanja dan meletakkan sumber tambahan untuk memastikan keselesaan dan mengurangkan kesesakan pengguna sepanjang perjalanan mereka.

“Jadi kami memastikan keadaan di plaza tol dan hentian rehat dan rawat (R&R) sentiasa sempurna bagi menerima lambakan trafik itu. Di plaza tol, kita menyediakan kakitangan yang lengkap, malah pasukan tambahan di ibu pejabat akan dikerah membantu di lapangan.

“PLUS juga membuat penambahbaikan dan persiapan untuk menghadapi lambakan trafik di musim perayaan. Contohnya sebelum ini kita hanya menyediakan trak tunda dibahagian siap sedia, tetapi di musim perayaan ini kita akan meletakkan trak tunda di tempat strategik seperti di kawasan berbukit dan terowong bagi membolehkan kita memberi respon dengan cepat sekiranya berlaku kemalangan atau kerosakan.

“Apabila kita buat persediaan untuk musim perayaan, kita tambah manpower, elaun tambahan kepada 2,200 petugas yang dibekukan cuti, jadi semua ini ada kos-kos tambahan, tetapi PLUS sanggup berbelanja dan meletakkan sumber tambahan untuk memastikan keselesaan dan mengurangkan kesesakan pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Potongan harga

Media sebelum ini melaporkan, tol percuma dan potongan harga sehingga 50 peratus akan diberi kepada pengguna lebuh raya utama bermula pukul 12 tengah malam Sabtu ini hingga 11.59 malam Ahad ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persetujuan yang dicapai selepas sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya itu bakal membabitkan manfaat keseluruhan RM77.11 juta dengan jumlah manfaat itu akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat konsesi.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, PLUS bagaimanapun tetap menyokong keputusan kerajaan memberikan tol percuma selama dua hari pada sebelum dan selepas sambutan Aidilfitri.

Bagaimanapun, katanya, susulan pengumuman itu, ia memerlukan persiapan yang lebih lagi daripada pihak PLUS terutamanya pada hari dijangkakan berlaku pertambahan kenderaan.

“Contoh kalau dulu, kita jangka lebih dua juta lambakan trafik, tetapi kali ini mungkin akan naik lebih lagi, jadi kita terpaksa lebih fokus dan bersedia bagi menghadapi trafik tambahan.

“Kita tahu di sesetengah lokasi lebuh raya di kawasan hotspot, jadi dengan extra trafik disebabkan tol percuma, maka PLUS perlu membuat lebih persediaan di tempat hotspot yang telah kita kenal pasti,” jelasnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya