BUKIT MERTAJAM: Seorang penternak didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memindahkan sebanyak 25 ekor kambing tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar bulan lalu.
Tertuduh, C. Soma Sumdaram, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memindahkan 25 ekor kambing jantan hidup menggunakan sebuah lori tanpa mendapat kebenaran bertulis Pengarah Negeri atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Jalan Machang Bubok, di sini kira-kira pukul 5.40 petang, 2 Mac lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Perintah 4(1)(a) Perintah Haiwan (Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) 2003 yang dibaca bersama Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000.
Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Negeri, Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, bapa kepada empat orang anak itu ketika membuat rayuan memohon maaf atas kesalahan itu dan meminta hukuman diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertama sepanjang menjadi penternak lembu dan kambing sejak kira-kira 45 tahun lalu.
Tertuduh turut merayu supaya lori miliknya dipulangkan semula berikutan digunakan untuk mencari rezeki.
Selain denda tersebut, mahkamah memerintahkan hasil jualan ternakan berkenaan sebanyak RM7,500 dilucut hak manakala lorinya dipulangkan semula sejurus prosiding selesai.
Tertuduh kemudian membayar denda tersebut. – UTUSAN