Pindaan Perlembagaan dibentang perlu dirujuk JK Pilihan Khas Parlimen - Utusan Malaysia

Pindaan Perlembagaan dibentang perlu dirujuk JK Pilihan Khas Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) meminta pindaan Perlembagaan yang dibentang hari ini untuk dirujuk ke sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Menurut Majlis Presiden, perkara itu antara dipersetujui pimpinan utama PH dalam perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tunku Jaafar.

“Pindaan Perlembagaan yang dibentang hari ini akan dirujuk ke sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwipartisan, melibatkan semua parti, dan ditugaskan meneliti, memperhalusi dan mencadangkan deraf Pindaan Perlembagaan dan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti ke Jemaah Menteri dalam masa satu bulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah kenyataan itu, hasil perbincangan juga merangkumi pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak berpersatuan perlu diperhalusi supaya ia dihadkan kepada Rang Undang-Undang berhubung larangan melompat parti sahaja.

“Selain itu, Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan berhubung seseorang wakil rakyat yang melepaskan jawatan wakil rakyat hilang kelayakan untuk bertanding selama lima tahun akan diteliti dan diusahakan penyelesaian, supaya selaras dengan semangat RUU Anti Lompat Parti.

“Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti yang dipersetujui kedua-dua pihak akan dibentang dan diluluskan dalam satu sidang khas Parlimen sebelum penghujung Mei 2022,” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH mengulangi pendirian bahawa RUU Anti Lompat Parti merupakan salah satu syarat utama Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU).

“Pakatan Harapan komited kepada proses untuk memastikan Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti ini berjaya dibentang dan diluluskan di Parlimen.

“Ini demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya dan seterusnya menjamin masa depan demokrasi di Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya