KUALA NERUS: Kerajaan yakin Pindaan Perkara 10(3) Perlembagaan Persekutuan pada Isnin ini mampu meraih sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, keyakinan itu berdasarkan janji dibuat pembangkang dalam perbincangan dengan Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik, baru-baru ini.
“Biasalah dalam mana-mana undang ada pelbagai pandangan tetapi yang pentingnya kerajaan dan pembangkang sependapat.
“Isnin ini saya yakin kerajaan akan dapat dua pertiga kerana Pakatan Harapan (PH) sudah berjanji memberik sokongan kepada pindaan Perlembagaan itu sebab saya sendiri hadir dalam perbincangan jawatan kuasa berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di sini hari ini.
Pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja akan memastikan ia tidak bercanggah dengan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang akan dibentang kemudian tetapi juga akan memudahkan RUU itu diluluskan.
Sementara itu, Annuar mengakui ada beberapa parti politik yang mahu tafsiran lompat itu diperincikan bagi mengelak kekeliruan dan disalah guna.
Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan kononnya wujud gangguan pihak tertentu yang mahu RUU berkenaan ditangguhkan.
“Itu berburuk sangka dan saya menafikan ada sebarang gangguan daripada mana-mana pihak sebab sistem Kabinet, kita bermesyuarat secara terbuka.
“Kalau ada perbezaan pendapat itu bukan dinamakan gangguan, istilah (gangguan) itu adalah tuduhan tidak adil kepada mana-mana anggota jemaah menteri,” katanya. – UTUSAN