IPOH: Pemuda Pakatan Harapan (PH) Perak membuat laporan polis dan menggesa siasatan dilakukan terhadap penjualan tanah untuk pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar di Perak Tengah.
Ketua Pemuda PH negeri, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, siasatan menyeluruh perlu dilakukan agar mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
“Kami berharap pihak berkuasa dapat memulakan prosiding untuk menyiasat penjualan tanah ini dan mendedahkan siapa sebenarnya dalang dalam isu ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Amanah Perak, Khairol Najib Hashim dan Ketua Pemuda DAP, Chaw Kam Foon.
Mohamad Hairul Amir yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak berkata, laporan itu antara lain menggesa pihak berkuasa memulakan siasatan dengan kadar segera.
Katanya, laporan perkara yang sama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dibuat dalam masa terdekat.
“Dakwaan tanah itu telah dijual seperti yang dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini telah menjadi persoalan dan perhatian umum, sebab itu kami buat laporan supaya pihak berkuasa boleh ambil tindakan.
“Saya percaya, polis dan SPRM mempunyai tanggungjawab serta kuasa untuk melaksanakan siasatan ke atas isu penjualan tanah ini,” katanya.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membuat laporan polis berhubung penjualan tanah itu dan memberi jaminan kerajaan negeri akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.
Isu penjualan tanah lapangan terbang terbabit timbul selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming mendakwa tanah berkenaan sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.
Saarani memaklumkan bahawa penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta bagi tujuan pembangunan bercampur di kawasan terbabit. – UTUSAN