PH kesal dakwaan set soalan SPM sama 

PH kesal dakwaan set soalan SPM sama 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) kesal susulan dakwaan penggunaan set soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang sama bagi peperiksaan sesi kedua, bermula Khamis ini.

Dalam satu kenyataan, JKPPH meluahkan rasa gusar berhubung kesiapsiagaan Kementerian Pendidikan dalam menguruskan proses pendidikan serta penilaian semasa pandemik.

“Keluhan meluas dalam kalangan ibu bapa pelajar perihal adilkah calon SPM sesi ulangan mendapat soalan sama dijawab oleh calon SPM sebelumnya sedangkan maklumat soalan-soalan tersebut telah pun tersebar kepada umum yang boleh mendatangkan kelebihan kepada calon SPM ulangan?

“Jika sebelum-sebelum ini, Lembaga Peperiksaan menyediakan soalan lain untuk digunakan jika berlaku perubahan secara ad-hoc kepada calon SPM yang tidak boleh mendudukinya seperti jadual biasa, mengapa kaedah yang sama tidak diguna pakai tahun ini?. 

“Akhirnya JKPPH menganggap Kementerian Pendidikan khususnya Menteri Kanan Pendidikan gagal mengambil perhatian secara serius proses pendidikan era pandemik ini yang pastinya mempengaruhi nasib anak-anak kelak,” kata kenyataan itu hari ini. 

Terdahulu, media melaporkan, Kementerian Pendidikan sedang menunggu laporan terperinci daripada Lembaga Peperiksaan berhubung dakwaan tersebut. 

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, sebarang keputusan berhubung sama ada pelajar perlu menduduki semula peperiksaan itu akan dibuat selepas kementerian menyemak laporan tersebut.

Mengulas lanjut, JKPPH meminta beberapa nilai perlu diberikan perhatian oleh Lembaga Peperiksaan dan Kementerian Pendidikan bagi mengelakkan situasi itu berlaku lagi. 

“Antaranya Lembaga Peperiksaan harus bersedia menyediakan soalan yang mencukupi pelbagai edisi memandangkan situasi semasa menyebabkan ada calon yang perlu menduduki SPM sesi ulangan. 

“Kedua, Lembaga Peperiksaan dan Kementerian Pendidikan harus memberi jaminan kepada umum adakah soalan yang digunakan merupakan soalan yang sama pada sesi sebelumnya tidak bocor dan masih kekal sulit buat calon SPM ulangan,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya